PGA rampas rokok dan minuman keras bernilai RM676,650 di Kuching

Minuman keras yang dirampas.

KUCHING, 27 Jun: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras dianggarkan bernilai RM676,650 termasuk cukai dalam satu serbuan ke atas sebuah premis kedai di bandaraya ini, semalam.

Komandernya SAC Saini Bongkek berkata serbuan dilakukan di bawah Ops Kontraban oleh Cawangan Unit Risik PGA bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak.

Jelasnya, serbuan sekitar jam 12.30 tengah hari itu mengesyaki premis tersebut dijadikan tempat penyimpanan rokok dan minuman keras yang belum lulus cukai Kastam.

Rokok yang dirampas.
SAC Saini Bongkek

Beliau menambah, hasil pemeriksaan ke dalam premis menemui 3,950 karton rokok putih, 610 karton rokok kretek dan 118 liter minuman keras pelbagai jenama.

Susulan itu, seorang lelaki warga negara Indonesia berusia 26 dipercayai penjaga premis turut ditahan apabila dia gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berhuhung barang-barang tersebut.

Rokok dan minuman keras tersebut kemudian dirampas dan suspek juga diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. ā€” DayakDaily