PERHEBAT anjur Program Reskilling dan Upskilling Veteran Angkatan Tentera Malaysia

Peserta-peserta kursus merakamkan kenangan bersama.

KUCHING, 26 Mac: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) Negeri Sarawak telah menganjurkan kursus Bangunan Dan Pengurusan Keselamatan Kebakaran di Kuching pada 21-22 Mac lalu.

Ia adalah Program Reskilling dan Upskilling Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PRUV-ATM) bagi menjaga kebajikan anggota veteran ATM yang terkesan dengan musibah pandemik Covid-19.

Turut dianjurkan ialah Program Asas Pertahanan Awam di Sibu pada 24-25 Mac serta Taklimat Asas Pertanian pada 24 Mac 2022.

Seramai 100 anggota veteran ATM di seluruh Sarawak iaitu dikalangan usahawan pertanian, kontraktor binaan, teknisyen dan sebagainya telah terpilih dan berjaya menamatkan kursus dan menerima sijil masing-masing.

Menurut seorang peserta Kundai Dugi yang berkepakaran Marine Technician Hull (MTH), kalau mahu menjadi pakar perlu mempunyai pelbagai bidang pengetahuan, kursus dan latihan untuk meningkatkan kompentensi diri.

“Lagi banyak kita berkursus lagi bertambah lah pengetahuan dan pengalaman sesuatu bidang yang kita akan perolehi,” ujarnya.

Beliau yang masih berkhidmat dan bakal bersara tidak lama lagi berterima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan PERHEBAT Cawangan Sarawak kerana diberi peluang untuk menghadiri kursus tersebut.

Dalam program itu, anggota veteran ATM dapat menimba ilmu pengetahuan seterusnya bagi meningkatkan sosio-ekonomi dalam bidang yang diceburi melalui pelbagai ceramah Keselamatan Kesihatan Pekerjaan, Bangunan Dan Pengurusan Keselamatan Kebakaran dan praktikal.

Majlis penutup dan penyampaian Sijil tamat kursus tersebut telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Sektor Pengurusan Latihan PERHEBAT Wan Azmin Mohd Abu Bakar.

Turut hadir sama Pegawai APM Daerah Sibu Kapten Frankie John Jawan, Penolong Pengarah PRUV-ATM PERHEBAT Negeri Sarawak Pauline Guyah. — DayakDaily