Pergerakan Wanita dan Pemuda tunjang PRS — Majang

Majang (duduk empat dari kiri) merakamkan kenangan bersama ahli-ahli Pergerakan Wanita dan Pemuda PRS.

SIBU, 23 April: Pergerakan Wanita dan Pemuda adalah tunjang kepada perkembangan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang telah melangkaui usia 17 tahun, kata Naib Presidennya Dato Majang Renggi.

Menurut Majang, aspek kepimpinan yang disemai dari awal lagi khususnya di peringkat belia merupakan pemangkin ke arah melahirkan pewaris kepimpinan parti yang berwibawa.

“Justeru, harapan yang tinggi disandarkan kepada pemuda untuk memperkukuh kedudukan parti kita. Secara amnya, sayap pemuda berperanan sebagai pewaris kesinambungan parti.


“Tanpa penglibatan kedua-dua sayap ini, usaha membina sebuah parti politik sepertimana PRS hari ini, yang telahpun melangkaui usia lebih 17 tahun tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perasmian Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan (TDC) Ke-5 Pergerakan Wanita Dan Pemuda PRS di sebuah hotel di sini, hari ini.

Seiring dengan dasar Kerajaan tambah Majang yang juga Pengerusi TDC Ke-5, PRS menghargai serta mengiktiraf peranan, kehendak dan suara anak muda.

Ujar beliau, ini diterjemah melalui sokongan parti untuk melaksanakan Undi 18 berteraskan amalan atau sistem demokrasi berperlembagaan.

“Oleh itu, saya berharap semua pihak perlu sentiasa berganding bahu mendasari penglibatan belia di peringkat akar umbi agar impaknya lebih menyeluruh sebagai pembuat dasar serta penentu hala tuju parti ini,” katanya.

Dalam pada itu Majang yang juga Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan berkata, PRS menginginkan satu pergerakan wanita yang mampu bergerak seiringan dengan keseluruhan struktur parti di semua peringkat.

Di dalam keadaan hari ini katanya, ahli wanita seiringan dengan komponen lain iaitu kaum bapa dan pemuda di dalam parti ini dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Kita sedia akui bahawa wanita setaraf kedudukannya dengan kaum lelaki. Yang mustahak adalah kemampuan seseorang, tidak kira kaum lelaki atau wanita dalam melaksanakan tugas.

“Ini kerana penglibatan dan kerjaya wanita sudah tidak lagi tertumpu kepada bidang tradisional, sebaliknya membarisi bidang professional.

“Oleh itu, sudah tentu kita amat mengalu-alukan penglibatan aktif para wanita dalam landskap pembangunan dan perkembangan parti,” ujar Majang. — DayakDaily