Peniaga panik nama dikaitkan dengan kes jenayah rugi RM6,920.85 ditipu ‘Macau scam’

Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah

Oleh Dean Adam

SIBU, Nov 27: Gara-gara panik dan takut selepas menerima panggilan kononnya dari pihak mahkamah, seorang peniaga melayang wang sebanyak RM6,920.85 dalam akaun simpanannya akibat ditipu ‘Macau scam’.

Laporan berhubung kejadian yang melibatkan lelaki berusia 27 tahun itu diterima semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, sebelum itu, mangsa dikatakan menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki kononnya seorang peguam daripada mahkamah.

Katanya, suspek kemudian memberitahu peniaga terbabit mempunyai tunggakan kad kredit Hong Leong Bank sebanyak RM8,795.75, namun mangsa menafikannya.

“Suspek seterusnya mengatakan nama dan nombor kad pengenalan mangsa telah digunakan oleh orang lain untuk memohon kad kredit Hong Leong Bank, Melaka dan mangsa akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

“Tidak cukup dengan itu, suspek mengatakan setelah membuat semakan dalam sistem, mangsa juga didapati telah terlibat dalam sindiket pengubahan wang haram,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa menambah, panggilan kemudian disambungkan kononnya kepada pihak polis dan mangsa telah bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Yap dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Katanya, suspek terbabit kemudian mengatakan telah menghantar satu surat perintah penangkapan dan perintah pembekuan aset-aset yang dikeluarkan oleh Ketua Pendaftaran Mahkamah Tertinggi Malaysia Istana Kehakiman terhadap mangsa.

“Suspek juga mengarahkan mangsa memberikan butiran nombor akaun bank, ID CIMB Clicks dan password CIMB Clicks bagi tujuan pemeriksaan oleh Bank Negara.

“Disebabkan panik, mangsa telah memberikan butir-butir tesebut kepada suspek menggunakan WhatsApp ke nombor telefon +6011-2507 7015.

“Lelaki itu juga minta mangsa menghantar nombor TAC kepadanya menggunakan WhatsApp,” katanya.

Mustafa menambah, mangsa menyedari telah ditipu setelah wang sebanyak RM6,920.85 dari akaun CIMB Bank miliknya dipindahkan ke akaun penama W Yu Hu. ā€” DayakDaily