Lagi kes suri rumah rugi RM30,000 akibat tertipu ‘Macau scam’

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 27: Lagi kes sindiket ‘Macau scam’ melibatkan seorang suri rumah di negeri ini.

Kes terbaharu yang dilaporkan semalam melibatkan seorang wanita berusia 36 tahun yang kerugian RM30,000.


Modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menghubungi mangsa berkenaan sebelum suspek memperkenalkan dirinya dengan nama Lee Chia Sim yang kononnya dari Mahkamah Kuching.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, suspek kemudian mengatakan syarikat milik mangsa memiliki hutang cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM96,800.

Katanya, suspek mengatakan Syarikat Hup Soon Trading Company yang beralamat di Pulau Pinang adalah milik mangsa, tetapi wanita berkenaan menafikannya.

“Panggilan telefon kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan kononnya seorang anggota polis telah memberitahu suspek juga terlibat dengan kes dadah dan jenayah lain.

“Suspek mengatakan mangsa merupakan salah seorang ahli kumpulan jenayah dan mangsa akan didakwa di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, suspek kemudian meminta akaun bank mangsa dan mengarahkan mangsa mengeluarkan semua wang dari akaun miliknya dan memasukkan ke akaun Ambank.

Katanya, panik dengan arahan suspek, mangsa kemudian mengeluarkan wang berjumlah RM30,000 dan memasukkan wang tersebut ke dalam akaun Ambank miliknya.

“Selepas itu, suspek meminta kata laluan akaun Ambank milik mangsa sebelum dia menerima pesanan ringkas yang memaklumkan wang berjumlah RM9,999 telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga sebanyak tiga kali.

“Mangsa yang menyedari tertipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily