Pengundi kawasan Parlimen Kota Samarahan diminta beri majoriti besar kepada BN

Awang Tengah (dua dari kiri) menyampaikan senarai projek pembangunan kerajaan yang sedang dan akan dilaksanakan kepada calon BN Parlimen Kota Samarahan Rubiah (tengah) dan ADUN Stakan Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud (tiga dari kanan) di Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Di Bawah Inisiatif Baru Tanah Adat Bumiputera dan Kampung Tradisi, di Dewan Suarah Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, April 30: Penduduk di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Kota Samarahan diminta bersama memberikan kemenangan dengan majoriti undi yang besar kepada calon Barisan Nasional (BN) mereka Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini seperti ketika pilihanraya negeri dua tahun lepas.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini berikutan pilihanraya negeri 2016 telah menyaksikan calon BN di tiga DUN terbabit iaitu DUN Muara Tuang, DUN Stakan dan DUN Asajaya telah menang dengan majoriti undi yang besar.

“Pada pilihanraya negeri (2016) dahulu (calon BN) DUN Asajaya telah mendapat sebanyak 4,078 undi, manakala di DUN Muara Tuang telah mendapat majoriti sebanyak 8,578 undi dan DUN Setakan telah mendapat majoriti sebanyak 7,042 undi,” katanya ketika menghadiri Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Di Bawah Inisiatif Baru Tanah Adat Bumiputera dan Kampung Tradisi, di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini, hari ini.


Pada PRU14, calon BN Parlimen Kota Samarahan adalah penyandangnya Rubiah Wang yang akan bertanding tiga penjuru dengan calon Parti Agama Se-Malaysia (PAS) Zulkipli Ramzi dan calon Parti Amanah Negara (PAN) Sopian Julaihi.

Awang Tengah berkata Rubiah perlu menang dengan majoriti undi besar bagi mengekalkan kawasan Parlimen tersebut sebagai kubu kuat BN sejak diwakili bekas Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan memastikannya terus mendapat kelebihan dari segi pemberian peruntukan projek pembangunan kerajaan.

“Senarai projek pembangunan kerajaan yang sedang dan akan dilaksanakan di Kota Samarahan adalah terlalu banyak dan kalau saya membacanya satu persatu akan habis sampai malam nanti,” katanya dan mengakui cemburu kerana kawasan
diwakilinya tidak menerima peruntukan pembangunan sebanyak kawasan Parlimen terbabit.

Antara dalam senarai itu ialah projek saliran dan pembentungan sebanyak RM5.2 juta, projek tebatan banjir Sungai Stakan sebanyak RM10 juta, projek kesihatan lebih RM40 juta, projek pembangunan sumber manusia RM55 juta, projek pembangunan komuniti RM31.4, projek kebajikan lebih RM11 juta, projek pembesaran kampung dan penempatan semula sebanyak RM20.4 juta.

Disamping itu terdapat juga projek lain-lain bernilai RM13.5 juta dan projek program “walkbout” Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Parlimen Kota Samarahan bernilai RM38.3 juta merangkumi pembinaan masjid, pembekalan air wilayah Samarahan dan pusat pengumpulan pertanian sehenti.

Sehubungan itu, Tengah mengingatkan penduduk kawasan Parlimen Kota Samarahan tidak merosakkan kelebihan kawasan mereka sebagai kawasan kubu kuat BN dengan menyokong pembangkang termasuk dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut menampilkan calon pada pilihanraya ini.

Malahan beliau mendedahkan pemimpin parti pembangkang terbabit pernah menjadi penghalang pembangunan Kota Samarahan sebelum ini kerana merampas peruntukan bagi mewujudkan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi beliau mewujudkan sebuah unversiti awam di negeri lain semata-mata mahu berebut jawatan dalam UMNO.

“Malahan beliau (pemimpin Parti Keadilan Rakyat atau PKR) terbabit sebagai Menteri Kewangan pernah menjanjikan sebanyak RM500 juta bagi memulakan projek pembinaan jalan pesisiran pantai negeri ini tetapi malangnya satu sen pun tidak diberikannya,” katanya.

Beliau berkata bekas Ketua Menteri Taib bagaimanapun bertekad mahu membina jalan pesisir pantai terbabit dan mengunakan sumber kewangan kerajaan negeri bagi membina jalan itu yang kemudian membawa banyak pembangunan ke kawasan Parlimen Kota Samarahan. — DayakDaily