Temui artis popular di Konsert Sejiwa Senada di Bekenu esok

Abang Johari (lima dari kiri) ketika merasmikan Konsert Sejiwa Senada Meradong, hujung minggu lalu.

KUCHING, April 30: Konsert Sejiwa Senada akan diadakan di Bekenu pada malam Mei 1 ini (esok) di perkarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sibuti, Pekan Bekenu.

Antara artis terkenal yang akan menghiburkan orang ramai nanti ialah Bob Yusuf AF, Ifa Raziah, Ricky Andrewson, Roziana Urai, Dayangku Fazillah, Redd Suara, Zaki Zaidi dan Iwan Dasri.

Unit Protokol dan Perhubungan Awam Negeri dalam satu kenyataan media hari ini menyatakan konsert dua jam itu sudah pasti akan menghiburkan orang ramai dengan persembahan lagu-lagu popular seperti ‘Kikis Bulu Betis’ dan banyak lagi.


Konsert khas itu diadakan sempena dengan Program Sejiwa Senada yang akan bermula pagi esok hingga Mei 2 ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan merasmikan program Sejiwa Senada pada pagi esok (Mei 1)

Di samping itu, program itu juga dijangkan menawarkan dua buah motosikal Modenas, telefon bimbit berjenama dan banyak lagi hadiah-hadiah barangan letrik yang lain untuk cabutan bertuah.

Sebanyak 30 gerai akan didirikan untuk mempamerkan pelbagai pembangunan dan perkhidmatan yang telah dijalankan oleh kerajaan negeri untuk rakyat.

Di samping itu, para pengunjung boleh mencuba pelbagai makanan dan minuman yang dijual di Sarawak Kitchen yang menyediakan 20 gerai.

Program Sejiwa Senada merupakan satu platform Pusat Sehenti bagi kerajaan untuk menyediakan pelbagai produk, khidmat nasihat, dan aktiviti sampingan seperti sukan dan rekreasi dan Sarawak Kitchen.

Program ini juga bertujuan untuk menyemarakkan lagi ‘feel good’ factor di kalangan rakyat supaya mereka mempunyai keyakinan yang mendalam terhadap usaha kerajaan dalam membawa pembangunan dan meningkatkan tahap sosio ekonomi rakyat.

Melalui program Sejiwa Senada ini kerajaan berharap akan mengeratkan jaringan kerjasama rakyat dengan kerajaan serta mengekalkan perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian dalam negeri. — DayakDaily