Penantian lebih 30 tahun nelayan Kampung Temaga Melayu miliki jeti pendaratan ikan tercapai

Nogeh (tengah) memotong riben sebagai simbolik semasa Majlis Perasmian Jeti Pendaratan Ikan dan Kemudahan Galangan atau 'slipway' di Kampung Temaga Melayu, Sematan.

SEMATAN, Feb 7: Penantian ratusan nelayan dari Kampung Temaga Melayu di sini untuk memiliki jeti pendaratan ikan dan kemudahan galangan atau ‘slipway’ sejak lebih 30 tahun kini berakhir selepas kedua-dua projek itu siap sepenuhnya pada awal bulan ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Anthony Nogeh Gumbek berkata, kemudahan yang dibangunkan dengan kos sebanyak RM242,000 itu berjaya dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Menurut beliau, dengan adanya jeti pendaratan ikan dan kemudahan galangan itu, nelayan dari kampung tersebut termasuk nelayan dari kampung berdekatan boleh membawa hasil tangkapan dengan selesa dan mudah.

“Saya yakin jeti pendaratan ikan dan kemudahan galangan ini akan menjadi tumpuan nelayan setempat memandangkan tiada kemudahan seupamanya di kawasan Sematan atau Lundu.

“Malah, dengan adanya kedua-dua kemudahan ini, urusniaga jual beli ikan dapat dilakukan dengan lebih teratur dan sistematik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Jeti Pendaratan Ikan dan Kemudahan Galangan atau ‘slipway’ di Kampung Temaga Melayu, Sematan, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Untong Keri, Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Belayong Nyuak, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Sarawak, Kusuadi Sallih dan Pegawai Daerah Lundu, Awang Puteryusrie Awang Redzuan.

Sementara itu, Ketua Kampung Temaga Melayu, Sematan, Othman Ibrahim berkata, jeti kayu sedia ada yang berusia lebih 30 tahun hanya menunggu saat untuk roboh sahaja.

Katanya, dia amat gembira dengan pelaksanaan kedua-dua projek yang dibawa oleh kerajaan kepada penduduk kampung di situ

“Keprihatinan kerajaan membantu kami warga nelayan di sini amat dihargai memandangkan jeti lama sudah tidak kukuh disebabkan kayunya semakin reput di makan anai-anai.

“Usaha kerajaan menerusi wakil rakyat mengatasi masalah nelayan di sini membuktikan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap rakyat,” ujarnya. — DayakDaily