PRU14: Calon DAP Mordi Bimol bersedia mentransformasikan Mas Gading jika dipilih

Mordi diiringi penyokongnya ketika berarak ke pusat penamaan calon Parlimen Mas Gading di Dewan Suarah Bau, hari ini.

KUCHING, April 28: Calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol berikrar untuk menyelesaikan masalah infrastruktur serta keperluan asas rakyat di konstituensi tersebut, sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Menurut beliau, antaranya adalah memastikan projek-projek yang terbengkalai seperti pembinaan Jambatan Kampung Selampit yang telah dijanjikan sejak 2003 disiapkan.

Selain itu, katanya masalah bekalan air terawat di seluruh Mas Gading juga harus diselesaikan dengan kadar segera agar tidak lagi menjadi isu politik setiap kali pilihan raya serta memastikan projek sambungan bekalan elektrik ke rumah-rumah melalui skim yang sudah lama tertangguh dilaksanakan segera.


“Banyak lagi yang perlu dilakukan di Mas Gading seperti memastikan jalan dalam kampung diturap, memperbanyakkan lagi lampu jalan terutama di jalan yang tidak terlibat dengan projek Lebuhraya Pan Borneo serta mengkaji penyelesaian masalah parkir di Hospital Bau, di pekan Lundu dan pekan Bau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual di pusat penamaan calon Parlimen Mas Gading di Dewan Suarah Bau, di sini hari ini.

Mordi menambah akan turut memastikan liputan telekomunikasi di seluruh Mas Gading berada pada tahap yang memuaskan termasuk menaik taraf pusat komputer/Internet komuniti agar betul-betul dapat memberi manfaat kepada penduduk kampung terutama golongan pelajar, jawatankuasa kampung dan gereja.

Dalam pada itu, beliau akan memperjuangkan hak tanah adat serta pengeluaran geran untuk semua tanah milik orang asal termasuk mencadangkan lot perkampungan baharu yang terancang untuk kampung-kampung sedia ada bagi menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah di Mas Gading.

Sementara itu, Mordi, 33, yang berasal dari Kampung Suba Bandar berkata akan turut menumpukan kepada pertanian di kawasan itu, dengan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti pembukaan jalan-jalan pertanian secara berperingkat di seluruh konstituensi serta mengenalpasti perusahaan pertanian sedia ada yang mempunyai potensi dengan memberi akses teknologi tinggi kepada petani sejajar dengan inisiatif ke arah pertanian moden.

Manakala, pendidikan tetap menjadi agenda utamanya apabila berhasrat untuk memastikan kemudahan dan keperluan pendidikan serta infrastruktur sekolah-sekolah di Mas Gading berada dalam keadaan yang memuaskan terutamanya sekolah berasrama.

“Saya juga akan mencadangkan pusat kajian dan latihan pertanian diwujudkan di Lundu bagi memberikan peluang dan ruang kepada penduduk Mas Gading yang mahu belajar tentang pertanian tanpa melalui proses pendidikan bilik darjah yang terlalu formal atau memakan masa.

“Ini sejajar dengan inisiatif untuk membangunkan Mas Gading sebagai pusat pertanian moden,” katanya.

Dari aspek pelancongan pula, Mordi ingin merancang semula pembangunan pelancongan di Bau, Lundu, dan Sematan supaya mampu menjadi destinasi pelancongan yang utama di Sarawak.

“Kepelbagaian bentuk muka bumi yang ada di Bau-Lundu-Sematan (tasik, sungai, laut, pantai, bukit, gunung, air terjun, gua) patut dimaksimakan sebagai modal pelancongan,” katanya.

Beliau menambah dengan adanya produk pertanian tradisional yang unik dan tempat-tempat yang menarik, Bau, Lundu, dan Sematan pastinya mampu menjadi destinasi pelancongan yang unggul dan seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.

Mordi akan bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Parlimen Mas Gading, Datuk Anthony Nogeh Gumbek. — DayakDaily