Manyin gesa penyokong BN keluar mengundi untuk calon BN Puncak Borneo, Mas Gading

Manyin (dua dari kanan) melancarkan dua buku mengenai kaum Bidayuh di majlis perasmian Jualan Gawai Bau 2018 di pekan Bau.

BAU, April 29: Penduduk kawasan Padawan dan Bau yang ramai kaum Bidayuh dan penyokong Barisan Nasional (BN) diminta keluar mengundi bagi memastikan kemenangan kepada calon BN Parlimen Puncak Borneo dan Parlimen Mas Gading pada Mei 9 depan.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata demikian berikutan khuatir kegagalan mereka keluar mengundi boleh menyebabkan dua kawasan Parlimen terbabit yang majoriti pengundi kaum Bidayuh berjaya dikuasai pembangkang.

“Oleh itu, saya menyeru dan merayu pengundi dari kedua-dua kawasan ini untuk beramai-ramai keluar mengundi dan undilah calon BN,” katanya ketika merasmikan Jualan Gawai Bau 2018 di pekan Bau, di sini, semalam.


Program terbabit yang pertama kali diadakan bersempena perayaan Gawai Dayak yang disambut kaum Bidayuh juga dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datu Ik Pahon Joyik dan Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam.

Manyin berkata sebagai Pengarah Operasi Kempen BN bagi kedua-dua kerusi Parlimen tersebut, beliau khuatir sekiranya pembangkang ada menawan dua kerusi Parlimen terbabit kemungkinan banyak program menguntungkan penduduk Bau anjuran wakil rakyat BN tidak akan dapat diteruskan lagi.

“Kalau calon BN bagi kerusi Parlimen Mas Gading dan Parlimen Puncak Borneo tidak menang pada Mei 9 depan, kemungkinan program (Jualan Gawai Bau) tidak akan diadakan lagi tahun hadapan,” katanya.

Bagaimanapun sekiranya calon BN menang di kedua-dua kerusi Parlimen itu, beliau pasti wakil rakyat ADUN dari BN di Bau termasuk Henry mempunyai rakan yang wakili Parlimen Mas Gading dan Puncak Borneo bagi membantunya menganjurkan lagi program terbabit tahun hadapan dan dengan lebih meriah.

Calon BN di kerusi Parlimen ialah penyandangnya Datuk Anthony Nogeh Gumbek yang akan bertanding satu lawan satu dengan calon pembangkang dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Mordi Bimol manakalan calon BN di Parlimen Puncak Borneo ialah muka baru, Genot@Jeannoth Sinel yang akan bertanding tiga penjuru dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Willie Mongin dan calon Parti Reformasi Negeri (STAR), Buln Ribos. — DayakDaily