Misteri kehilangan lelaki terungkai, mayat ditemui tersangkut di bawah timbunan kayu

Pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat mangsa.

BETONG, Feb 7: Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas ketika dia sedang mandi di Sungai Rimbas Baru, Debak di sini pada Isnin lalu akhirnya terungkai apabila mayatnya ditemui hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, Leftenan Hafizul Samah berkata, mangsa, Ampi Gani, 69, ditemui kira-kira pukul 11.10 pagi.

Katanya, mangsa yang berasal dari Rumah Panjang Martin Gana Ulu Rimbas, Debak ditemui dalam keadaan terapung di sungai tersebut.


“Ketika ditemui, mayat mangsa tersangkut pada timbunan kayu buruk di tebing sungai tersebut.

“Pemeriksaan lanjut, mendapati mayat mangsa masih sempurna dengan hanya memakai seluar pendek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Hafizul memberitahu, berdasarkan maklumat yang diterima daripada isteri mangsa, suaminya dikatakan tidak pulang ke rumah selepas mandi di sungai berhampiran rumah panjang berkenaan.

Katanya, mangsa juga dikatakan mengalami masalah kesihatan iaitu penyakit strok dan mudah hilang ingatan.

“Operasi mencari dan menyelamat tamat sepenuhnya selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily