Pemuda PBDSB selar kenyataan pelobi PDP untuk kerusi Parliamen Saratok

Rapelson Richard Hamit

KUCHING, Jan 4: Pemuda Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) menyelar sebuah kenyataan media yang dikeluarkan oleh pelobi Parti Demokratik Progresif (PDP) untuk kerusi Parliamen Saratok, Basil Thomas.

Basil dalam satu kenyataan media berkata bahawa isu tanah Hak Orang Asal (‘NCR land’) hanyalah permainan politik pembangkang untuk meraih undi di Sarawak terutamanya di kawasan Dayak.

Susulan itu, Ketua Pemuda PBDSB Rapelson Richard Hamit memberitahu bahawa isu Tanah Hak Adat (NCR) merupakan isu masyarakat asal Sarawak, terutamanya masyarakat Dayak dan merupakan isu yang amat unik sekali kerana melibatkan kerajaan yang memerintah, pemegang ‘Provisional Lease’ (PL), badan berkanun seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Pesekutuan (FELCRA), Land Custody and Development Authority (LCDA), wakil rakyat, pelabur seperti Tabung Haji, Ta Ann, Rimbunan Hijau dan pemilik asal tanah NCR. Sehingga kini, terdapat kira-kira 400 kes menunggu perbicaraan mahkamah di Sarawak. 


“Kita telah menang di kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Rayuan untuk kes NCR Rumah Sandah di Kanowit, Tuai Rumah Nyutan di Kampung Lebur dan Tuai Rumah Masa Anak Nangkai di Kampung Tekuyong. Akhirnya, kita telah kalah di Mahkamah Persekutuan. Kita Orang Asal Sarawak terutamanya masyarakat Dayak dilayan lebih teruk daripada binatang. Orang utan pun diberi pelindungan dan tempat tinggal yang sewajarnya, tapi bagaimana dengan kita sebagai Orang Asal Sarawak?” ujar Rapelson.

“Sepatutnya Kanun Tanah Sarawak (‘Sarawak Land Code’) adalah Ordinan Tanah yang lebih tinggi daripada kuasa Mahkamah Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sekiranya pihak kerajaan Sarawak dan syarikat-syarikat kalah di Mahkamah Tinggi, mereka sepatutnya mengembalikan hak kepada masyarakat atau menawarkan situasi menang menang (‘win-win situation’) dan bukan merampas tanah mereka melalui Mahkamah Persekutuan. Ini melanggar MA63,” jelas beliau.

Rapelson mempersoalkan kredibiliti Basil sekiranya beliau dicalonkan oleh PDP untuk bertanding untuk kerusi parlimen Saratok dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Kata Rapelson, walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza, mereka yakin ADUN Krian Ali Biju bakal dicalonkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan parlimen itu pada PRU14 akan datang. 

“Oleh itu, PBDSB tidak meletakkan sebarang calon di Saratok kerana Ali Biju adalah satu-satu nya orang Iban yang menjadi wakil pembangkang di DUN, malah beliaulah yang mewakili suara rakyat Iban yang tidak berpuas hati dengan dasar Barisan Nasional (BN) dan kita doakan kejayaan beliau,” kata Rapelson.

“Basil bukan seorang pemimpin, tetapi tukang ampu demi misi politik peribadi beliau dan sanggup mengabaikan isu tanah NCR rakyat. Basil terlalu ghairah untuk menjadi calon. Apatah lagi sekiranya beliau menjadi wakil rakyat, habislah tanah NCR dan mungkin beliau akan menjatuhkan presiden mereka,” kata Rapelson.

Beliau menambah PBDSB bukan hanya memperjuangkan hak Dayak namun memperjuangkan isu Sarawak secara umumnya iaitu Perjanjian Malaysia (MA63), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sekolah daif dan jurang fiskal di antara pendapatan orang bandar dan luar bandar, dan kemiskinan di luar bandar.

Beliau juga memberitahu pihak Pemuda PBDSB telah menjemput Pengerusi Barisan Nasional Back Benchers Club (BNBCC), Paulus Gumbang untuk mengadakan forum terbuka sebanyak tiga kali namun Paulus masih berdiam diri dan gagal memberi sebarang tindak balas. — DayakDaily