PBDSB mempersoalkan kebisuan kerajaan BN Sarawak mengenai data statistik tanah negeri


SRI AMAN, Jan 4: Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) meminta kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak untuk bertindak lebih proaktif berhubung isu tanah di negeri ini.

Kenyataan berkenaan dibuat susulan kegagalan BN memberikan data statistik pemilikan tanah di Sarawak.

Presiden PBDSB Cobbold John berkata jika kerajaan BN negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serius dan ikhlas dalam menyelesaikan isu tanah hak orang asal (‘native customary rights’ atau NCR), mereka perlu mengeluarkan data statistik mengenai status tanah di negeri ini.


Menurut nya, orang umum sedia mengetahui bahawa tanah di Sarawak adalah hak milik kerajaan dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu “registered state land” dan “unregistered state land”. Tanah Hak Orang Asal (NCR) adalah dibawah “unregistered state land”.

“Unregistered state land” ini yang menjadi isu apabila kerajaan memberikan PL (‘provisional lease’) kepada pihak syarikat atau individu tertentu menerusi Seksyen 28 Kanun Tanah Negeri,” jelas Cobbold.

Menurutnya lagi, pihak kerajaan BN negeri berkewajipan mengeluarkan data statistik untuk pengetahuan umum. Beliau meminta agar Abang Johari dan kabinet negeri memberitahu rakyat Sarawak berapa keluasan tanah yang telah digazet sebagai “registered state land”, tanah yang dikategorikan sebagai “unregistered state land”, PL yang telah diberikan, tanah yang telah diberikan geran individu dibawah Seksyen 18 dan syarikat-syarikat yang memegang pajakan berkenaan. 

“Selain itu, pihak PBDSB juga ingin tahu status pemilikan tanah yang telah menjadi guna sama dibawah Seksyen 6,” ujar Cobbold. 

Beliau berkata, tidak ada alasan BN gagal mengeluarkan statistik berkenaan melainkan ada sesuate untuk disembunyi.

Katanya, Jabatan Tanah dan Ukur Negeri seharusnya memiliki data tersebut.

“Sepatutnya tak menjadi masalah. Lain lah jika ada pihak berkepentingan memiliki tanah yang perlu dilindungi. Kita rakyat Sarawak terutamanya kaum Bumiputera seperti orang Dayak, Melanau dan Melayu berhak mengetahui pekara ini,” kata Cobbold.

Beliau juga meminta kerajaan BN Sarawak mendedahkan dokumen asal berkaitan pembentukan Malaysia yang diperoleh di London dibawa ke pengetahuan umum. Menurutnya, kemungkinan ada elemen penting berkaitan tanah NCR terkandung dalam dokumen berkenaan. 

“Kita tengok dan lihat ketelusan kerajaan BN Sarawak nanti. Jangan pula kata (ini semua) di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), susahlah,” kata Cobbold. — DayakDaily