Rapelson: Elaun Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat wajar dinaikkan

PBDS Baru (PBDSB) Youth Chief Rapelson Richard Hamit.

KUCHING, Nov 24: Pemuda Parti Banda Dayak Sarawak Baru (Sarawak Ranger) melalui satu kenyataan media menyarankan agar kerajaan Barisan Nasional (BN) mempertimbang kenaikkan elaun ketua kaum dan ketua masyarakat.

Ini adalah berlandaskan beban tanggungjawab yang digalas mereka di peringkat akar umbi adalah amat berat sekali dalam membantu kemenangan BN membentuk kerajaan.

“BN harus mempertimbangkan kenaikan elaun ketua kaum dan juga ketua masyarakat dalam belanjawan. Ini adalah berlandaskan tanggungjawab yang digalas mereka di peringkat akar umbi”, kata ketua Sarawak Ranger Rapelson Richard Hamit.

Beliau juga mengulas, baru-baru ini tular di media sosial kenyataan akhbar di mana pemimpin-pemimpin kerajaan BN memberi amaran agar Ketua Kaum tidak memberi sokongan kepada pihak pembangkang.

“Pemimpin mengertak ketua kaum. Saya ada keratan akbar tersebut dan perkara ini serius. Adakah demokrasi di negara ini telah terkubur? Secara peribadi Ketua Kaum berhak menyokong dan mengundi mana-mana parti politik tak kira Kerajaan yang memerintah ataupun parti alternatif (pembangkang).


“Kerajaan juga tidak seharusnya menggunakan mereka untuk berkempen dalam pilihan raya. Ini menyalahi etika Ketua Kaum. Mereka adalah Ketua Adat Istiadat dan bukannya alat politik,” kata Rapelson.

Selain itu, gaji minimum di Sarawak adalah RM920 sebulan, manakala elaun Tuai Rumah hanya RM800 dan Rapelson menjelaskan perkara ini tidak selari dan dalam paras kemiskinan.

“Sekarang kerajaan BN cuma menambah RM100 dan menjadikan elaun Tuai Rumah menjadi RM900. Ini masih dalam paras kemiskinan,” katanya.

“Disamping peningkatan kos sara hidup, sememangnya wajar elaun mereka dinaikan. Elaun berkenaan haruslah digantikan dengan istilah gaji.

“Oleh itu, kita cadangkan gaji Tuai Rumah dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,600, gaji Penghulu daripada RM1,000 dinaikan kepada RM2,000, gaji Pemanca daripada RM1,200 dinaikan kepada RM2,400 dan gaji Temenggong dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM3,000.

“Mereka juga harus diberikan insentif EPF, insuran dan SOSCO,” tambah Rapelson. — DayakDaily