PALSU — Berita tular Miri dilanda wabak penyakit berjangkit tidak benar

Memo yang diviralkan dalam laman media sosial.

KUCHING, Mac 8: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) hari ini menafikan adanya wabak penyakit yang belum dikenali berlaku di Miri seperti yang telah didakwa satu mesej yang ditularkan di laman sosial.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai mesej yang tular tersebut hari ini dan mendapati kandungannya tidak tepat.

Berita palsu yang ditularkan itu memaklumkan terdapat tiga kanak-kanak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami kegagalan organ berfungsi dan tiada harapan dapat diselamatkan.

Simptom jangkitan penyakit seperti ditularkan ialah kurang selera makan, batuk dan demam. Justeru, berita palsu itu menasihatkan ibu bapa agar mengelak membawa anak-anak ke Miri buat masa ini.

“Hasil semakan dan verifikasi pemantauan wabak penyakit berjangkit, didapati tiada peningkatan ketara penyakit berjangkit di Miri sejak sembilan bulan yang lalu,” kata Dr Jamilah dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata pihak pengurusan hospital Miri mengesahkan bahawa sememangnya terdapat sedikit peningkatan pesakit ke wad hospital itu sejak awal Febuari lepas terutama di wad kanak-kanak.

Menurutnya keadaan seperti ini sememangnya dapat diperhatikan berlaku setiap tahun selepas musim perayaan, namun begitu kemasukan terbabit adalah disebabkan pelbagai jenis penyakit dan bukan hanya disebabkan oleh sebarang penyakit berjangkit yang spesifik.

Disamping itu, beliau mendedahkan satu mesej yang turut ditularkan adalah mengenai memo dalaman hospital Miri bertajuk Notis Segera Penanguhan Pembedahan Elektif bertarikh Mac 7, 2018.

“Menurut pengarah hospital Miri, notis terbabit dikeluarkan berikutan peningkatan kemasukan pesakit ke hospital terbabit secara keseluruhan, termasuk Unit Rawatan Rapi (ICU). Notis ini ditujukan kepada semua jabatan hospital terbabit dan bukan kepada orang awam untuk tindakan menangguhkan sementara waktu kes pembedahan elektif dan bukan pembedahan kecemasan,” katanya.

Beliau berkata ini bagi membantu menguruskan pesakit di wad dengan lebih cekap dimana beberapa kakitangan dewan bedah adalah diminta membantu di wad dan pembedahan terutama bagi kes kecemasan adalah tidak terjejas dan masih diteruskan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak khuatir dan saya menyeru masyarakat khususnya netizen supaya berhenti menyebarkan berita yang belum disahkan kesahihannya kerana ianya boleh menimbulkan kecelaruan di kalangan masyarakat,” katanya.

Dr Jamilah juga menasihatkan orang ramai yang ingin mendapatkan kepastian atau pengesahan ke atas mesej yang telah ditularkan di laman sosial untuk menghubungi Crisis Prepredness and Response Center JKNS di talian 082-443248. — DayakDaily