Pakej Prihatin: PKS nikmati pengecualian dan diskaun bayaran sewa premis

Muhyiddin ketika sidang media Pakej Prihatin (Tambahan) untuk PKS.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 April: Kerajaan mengecualikan bayaran sewa atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga runcit perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan.

Ia sebahagian daripada langkah membantu golongan PKS kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) menerusi Pakej Tambahan PKS berjumlah RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menurut Muhyiddin, syarikat seperti MARA, Petronas, PNB, Plus dan UDA serta beberapa syarikat milik kerajaan yang telah bersetuju untuk memberi diskaun atau tidak mengenakan sewaan ke atas premis mereka khusus untuk penyewa PKS.

“Atas prinsip perkongsian bebanan, saya menggesa pemilik premis swasta untuk turut memberikan kemudahan yang sama dengan mengurangkan kadar sewa premis mereka sekurang-kurangnya semasa waktu PKP dan tiga bulan selepas PKP berakhir.

“Pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa akan diberi potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa tersebut bagi bulan April 2020 hingga Jun 2020,” kata Muhyiddin.

Di samping itu, tambah beliau, kerajaan juga memansuhkan kadar faedah 2 peratus kepada sifar peratus untuk Skim Kredit Mikro berjumlah RM500 juta di bawah Bank Simpanan Nasional.

Katanya, skim pinjaman mudah untuk syarikat mikro ini juga dipanjangkan kepada Tekun Nasional dengan had maksimum pinjaman sebanyak RM10,000 setiap syarikat pada 5 kadar faedah sifar peratus.

“Untuk tujuan ini, dana sebanyak RM200 juta akan disediakan dan pemohon hanya boleh memilih salah satu daripada skim ini bagi membolehkan lebih ramai peniaga menikmati kemudahan ini,” ujar beliau.

Penambahbaikan Pakej Prihatin PKS (Tambahan) itu juga melibatkanpengurangan bayaran levi pekerja asing sebanyak 25 peratus kepada semua syarikat yang permit pekerja mereka tamat pada 1 April hingga 31 Disember.

Namun, pengurangan bayaran levi ini tidak terpakai kepada pembantu rumah.

Muhyiddin berkata kerajaan bersetuju untuk menggalakkan perundingan diadakan antara majikan dan pekerja mengenai terma pekerjaan, termasuk pilihan pemotongan gaji dan pemberian cuti tanpa gaji dalam tempoh PKP.

“Majikan dan pekerja boleh merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk mendapatkan nasihat berkaitan sebarang permasalahan untuk penyelesaian.

“Sebarang perundingan hendaklah tertakluk kepada undang-undang mengenai pekerjaan yang berkuatkuasa di negara ini. Yang penting, hak dan kebajikan kedua-dua pihak mestilah sentiasa terbela,” ujar beliau. — DayakDaily