Padah rompak kapal tangki, lelaki Indonesia dipenjara lapan tahun dan kena tiga sebatan

Kelihatan kapal tangki yang dirompak lima perompak warga Indonesia.

BINTULU, Sept 6: Mahkamah Seksyen di sini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan ke atas seorang daripada lima perompak warga Indonesia selepas mengaku bersalah merompak kapal tangki Tesai di perairan Bintulu pada Ogos 4 lalu.

Sebelum itu, mahkamah sama juga menjatuhkan hukuman penjara selama lima bulan dan tiga sebatan terhadap kelima-lima tertuduh selepas mereka mengaku bersalah atas kesalahan tinggal di Malaysia tanpa pas yang sah mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Empat lagi perompak yang tidak mengaku bersalah melakukan rompakan ke atas kapal tangki itu pula akan dibicarakan pada Mac 2019.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, sebelum itu, kelima-lima suspek telah merompak sebuah kapal tangki yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Miri pada Ogos 4 lepas.

Dalam kejadian itu, sekumpulan lima perompak tersebut telah menggunakan sebuah bot laju bertindak merompak kapal berkenaan pada kedudukan 11 batu nautika barat laut Tanjung Kidurong di sini.

“Kumpulan penjenayah tersebut telah merompak seutas rantai emas, lima unit telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM5,000.

“Jumlah kerugian akibat kes rompakan tersebut dianggarkan sebanyak RM19,800,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Shahref memberitahu, menerusi kejayaan dan tangkapan kumpulan perompak terbabit, pihaknya percaya dapat menyelesaikan kes-kes rompakan yang berlaku di perairan Bintulu sejak 2016.

Katanya, semua suspek yang berusia antara 34 hingga 46 tahun itu ditahan pada Ogos 17 lepas hasil risikan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Bintulu dan Polis Diraja Malaysia (PRDM)

“Saya juga memohon kerjasama komuniti maritim terutamanya di Bintulu agar sentiasa berhubung dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang perlakuan jenayah di laut kepada APMM Bintulu,” ujarnya. — DayakDaily