74 premis refleksologi diperiksa, 318 kesalahan dikesan

Pengawai penguatkuasa JTKS melakukan pemeriksaan di premis refleksologi.

KUCHING, Sept 6: Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTKS) telah menjalankan operasi serentak ke atas premis-premis refleksologi di seluruh negeri ini semalam.

JTKS dalam satu kenyataan media hari ini berkata, operasi khas itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pematuhan undang-undang dalam kalangan majikan di samping memastikan pekerja-pekerja memahami hak-hak mereka di bawah undang-undang perburuhan.

Kata JTKS, operasi serupa telah dilaksanakan pada Jun lalu di mana sebanyak 306 tempat pekerjaan telah diperiksa.

“Manakala, dalam operasi semalam, sebanyak 74 tempat pekerjaan telah diperiksa di mana sebanyak 318 pelanggaran telah dikesan.

“Operasi tersebut melibatkan 44 orang pegawai penguatkuasa dari semua Pejabat Tenaga Kerja termasuk lima pegawai dari Ibu Pejabat JTKS,” kata JKTS hari ini.

Mengulas lanjut, JTKS memberitahu, antara pelanggaran-pelanggaran yang dikesan adalah melibatkan kegagalan majikan untuk menyimpan daftar peribadi iaitu sebanyak 61 kes.

Tambah JTKS, kesalahan lain yang dikesan ialah gagal menyimpan daftar terma dan syarat penggajian iaitu sebanyak 62 kes.

“Kesalahan lain ialah gagal menyimpan daftar gaji dan elaun (53 kes) dan gagal memberi daftar gaji dan elaun kepada pekerja (54 kes).

“Antara lain, anggota penguatkuasa juga mengesan kesalahan gagal memberi notis di bawah seksyen 60A (17 kes), menggaji pekerja bukan pemastautin tanpa lesen (11 kes), gagal membayar gaji hari kelepasan (10 kes) dan kesalahan lain,” jelas JTKS lagi.

Sehubungan itu kata JTKS, sebanyak 64 notifikasi pelanggaran kepada majikan telah dikeluarkan bagi memastikan tindakan pembetulan diambil oleh mereka yang terlibat.

Ujar JTKS, selain daripada itu, sebanyak 11 kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat pelanggaran di bawah seksyen 119 Ordinan Buruh (Sarawak), iaitu menggaji pekerja bukan pemastautin tanpa lesen.

Sementara itu, JKTS memberitahu, dalam operasi-operasi yang lalu sejumlah 1,672 pelanggaran telah dikesan di mana 35 daripadanya telah dibuka kertas siasatan.

Pelanggaran-pelanggaran yang dikesan itu adalah melibatkan peruntukan-peruntukan di bawah Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 dan Akta Pampasan Pekerja 1952. — DayakDaily