Operasi premis memproses plastik terpakai di Demak Laut ditahan pihak berkuasa

Plastic waste. — DayakDaily.com file pic. // Image by Hans Braxmeier from Pixabay

KUCHING, 19 Ogos: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak telah mengambil tindakan terhadap sebuah premis memproses plastik terpakai di kawasan Perindustrian Demak Laut, di sini, semalam.

Ini berikutan jabatan itu mendapati tiga mesin ‘extruder’ di premis tersebut beroperasi tanpa alat kawalan pencemaran udara dan jentera mencuci plastik tidak dilengkapi dengan sistem pengolahan efluen yang sepatutnya.

“Sehubungan itu, JAS Sarawak telah menahan operasi premis ini di bawah peruntukan Seksyen 38(1)(a) bagi maksud siasatan dan tindakan lanjut. Selain itu, notis di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling akan turut dikeluarkan,” menurut satu kenyataan Jabatan Alam Sekitar yang disiarkan dalam laman facebooknya.

Ini selepas JAS Sarawak mengetuai operasi gempur bersepadu dan melakukan pemeriksaan selama tiga jam terhadap premis itu bersama 11 agensi lain serta membabitkan seramai 42 anggota.

Agensi terbabit termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Sarawak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak (KDRM), Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak (JIM), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sarawak (JKKP), Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK).

Selain itu operasi juga disertai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Mintred), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU). — DayakDaily