Polis Miri tahan lima suspek, kes cubaan culik berjaya diselesai

Angggota JSJ Miri membawa suspek yang ditangkap ke lokap Balai Polis Pusat Miri.

By Brad Rantayy

MIRI, 19 Ogos: Kurang 12 jam selepas kejadian seorang lelaki diculik empat suspek petang semalam sebelum mangsa ditinggalkan berhadapan sebuah bank di Jalan Bendahara, sepasukan polis Miri dari cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berjaya menjejak dan menangkap sekumpulan lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kejadian.

Dalam tangkapan yang dilakukan sekitar jam 1 pagi hari ini, anggota JSJ Miri menyerbu sebuah hotel murah di Jalan Cahaya dan berjaya menemukan lima suspek lelaki yang disyaki terlibat di dalam kes cubaan culik tersebut.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah, polis juga turut merampas beberapa barang kes termasuk sebuah kenderaan serbaguna (MPV) yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut.

“Dengan tertangkapnya suspek ini, kita berjaya menyelesaikan kes ini kurang 12 jam selepas kejadian,” ujar Lim, sambil menambah motif dipercayai berkaitan dengan hutang perniagaan haram.

Suspek yang ditangkap berusia sekitar 18 ke 40 tahun.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4 petang semalam di Jalan Bintang Jaya 2, suspek kelihatan menangkap dan bergelut dengan seorang lelaki sebelum memaksa mangsa masuk ke dalam sebuah kenderaan MPV berwarna putih.

Kejadian telah berjaya dirakam orang awam berdekatan, yang kemudian memuat naik rakaman tersebut ke laman sosial media.

Video yang berdurasi 18 saat itu telah mendapat perhatian orang ramai yang rata-ratanya meluahkan kerisauan tentang keselamatan mangsa dalam beberapa minit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik. — DayakDaily