Op Bersepadu IPD Kuching: Tiga ditangkap kerana dadah dan judi, enam lagi dikompaun gagal patuh SOP

Gambar komposit menunjukkan keadaan sepanjang operasi tersebut.

KUCHING, 17 April: Tiga individu ditahan dalam operasi bersepadu pencegahan jenayah pematuhan prosedur operasi ‘standard’ (SOP), di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, operasi yang bermula jam 10 malam sehingga 3 pagi tersebut dijalankan ke atas kafe, pub dan bistro yang menjalankan aktiviti karaoke secara terbuka.

Katanya pemeriksaan terhadap pusat refleksiologi serta rumah urut dan pemeriksaan ‘snap check’ turut dilakukan di sekitar kawasan pentadbiran IPD Kuching.

“Hasil operasi, kita telah menahan seorang individu di bawah 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Sementara, dua individu ditahan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semua tangkapan dibawa ke IPD Kuching untuk tindakan selanjutnya.

Selain itu, sebanyak enam kompaun tidak mematuhi SOP dikeluarkan di bawah Peraturan 17(1) PPPPB (LLDKTJ) (PPN) Pindaan 2021 (Fasa Peralihan Endemik).

Kata Ahsmon, seramai 570 individu terdiri dari 417 lelaki dan 153 perempuan diperiksa sepanjang operasi tersebut.

“Operasi bersepadu ini akan sentiasa dilakukan bagi membendung kegiatan jenayah di sekitar kawasan pentadbiran IPD Kuching.

“Kita juga mengingatkan masyarakat untuk terus mematuhi SOP demi kebaikan bersama,” katanya.

Operasi tersebut membabitkan seramai 13 pegawai dan 67 anggota IPD Kuching. — DayakDaily