Kes merusuh di Matang, tiga cedera, tujuh sudah ditangkap

The scene of the brawl.

KUCHING, 17 April: Seramai tujuh individu telah ditangkap dan polis masih mengesan saki baki yang terlibat berhubung kes merusuh di sebuah kedai makan di Jalan Matang semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 11 malam ketika mangsa bersama rakan-rakannya duduk di hadadapan kedai tersebut sekitar jam 11 malam.

Katanya, mangsa dan rakan-rakannya itu didatangi sekumpulan lelaki bersenjatakan objek tajam yang kemudian terus menyerang mereka.


“Dalam insiden tersebut, seorang rakan mangsa mengalami kecederaan di tangan, kaki dan kepala, manakala dua suspek turut mengalami kecederaan dan kesemua mereka sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak.

“Pihak PDRM telah berjaya menahan seramai tujuh individu berumur 26 hingga 40 tahun dan masih giat mengesan saspek yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya juga, permohonan reman juga akan dipohon bagi melengkapkan kertas siasatan yang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Punca kejadian adalah disebabkan masalah pembahagian keuntungan perniagaan sehingga menimbulkan ketidak puasaan hati.

“Kes ini tiada melibatkan mana-mana kumpulan tertentu mahupun hutang judi sepertimana yang diviralkan di dalam media sosial,” katanya.

Justeru, polis menasihatkan mana-mana pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi bilik gerakan IPD Padawan di talian 082-862233,” katanya. — DayakDaily