Nelayan asing ditangkap, menyamar sebagai nelayan tempatan curi hasil laut

Antara tangkapan dan rampasan dalam operasi tersebut.

BINTULU, 17 April: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu berjaya menahan tiga buah bot nelayan asing dipercayai daripada Vietnam di kira-kira 193 batu nautika dari utara Pelabuhan Bintulu, Khamis lepas.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim EffendyĀ  Mohamed Fadil berkata, kesemua bot nelayan asing itu telah dikesan sekitar pada jam 10.00 malam dalam keadaan berapung dan tidak bertindak agresif ketika dihampiri oleh penguat kuasa.

Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati seramai 32 orang kru termasuk tiga orang tekong bagi ketiga-tiga bot tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.


“Selain itu, kesemua bot yang ditahan tidak mempunyai lesen bot untuk beroperasi dan dalam masa yang sama disyaki menggunakan nombor pendaftaran yang palsu.

“Kesemua kru yang ditahan termasuk tekong, berumur dalam lingkungan 24 hingga 55 tahun, lelaki dan merupakan warga Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, terdapat juga 1.3 tan ikan campur serta 2000 liter minyak diesel turuy dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.5 juta termasuk tiga buah bot.

Tangkapan dan rampasan kemudian diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985. ā€” DayakDaily