Maritim tahan bot tunda, tongkang tiada dokumen sah

Bot tunda dan tongkang yang ditahan dalam operasi tersebut.

KUCHING, 11 April: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak telah menahan sebuah bot tunda dan tongkang pada jarak lebih kurang 0.44 batu nautika Barat Daya Jeti Komtas semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, pada pukul 2.50 petang semalam, KM TUN FATIMAH yang sedang menjalankan rondaan operasi OP KHAS PAGAR LAUT di sekitar perairan Kuching telah mengesan sebuah bot tunda beserta tongkang dalam keadaan yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tersebut dikendalikan enam kru lelaki, terdiri daripada tiga warga India, seorang warga tempatan, seorang warga Myanmar, dan seorang lagi warga Indonesia dalam lingkungan umur 22 hingga 59 tahun.


“Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua kru, bot tunda dan tongkang ditahan dan diiring masuk ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) Muara Tebas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Ordinan Kapal Saudagar (MSO) 1952/60 kerana gagal mengemukakan Sijil Pendaftaran Kapal dan Tongkang yang sah ketika pemeriksaan.

“Bot tunda itu juga didapati melakukan kesalahan operasi dengan membawa penumpang tanpa kebenaran pegawai pelabuhan,” katanya.

Maritim Malaysia sentiasa komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan bagi mencegah sebarang bentuk pelanggaran undang-undang, penyeludupan, pencerobohan, dan jenayah maritim di samudera negara setiap masa.

Sebarang aduan atau maklumat mengenai aktiviti yang mencurigakan serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. — DayakDaily