Maritim tahan bot tunda, tongkang di Miri

Bot tunda dan tongkang yang ditahan dalam operasi tersebut.
Advertisement

MIRI, 14 Mei: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah bot tunda beserta tongkang semalam.

Penahanan telah dibuat di kedudukan 4.9 batu nautika barat laut Kuala Baram kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952/60 iaitu gagal mengemukakan surat pertukaran nakhoda semasa diperiksa.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot tunda terbabit ditahan Maritim Malaysia ketika sedang melaksanakan OP PERMAI 01/2019 dan OP TIRIS 3.0 di perairan Miri.

Advertisement

“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati bot tunda itu dikendalikan oleh lapan kru yang terdiri daripada tiga warga tempatan, tiga warga India dan dua warga Myanmar.

“Kesemua kru dan bot tunda berserta tongkang diiring ke Kawasan Bersauh Miri untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Maritim Malaysia akan terus komited dalam menguatkuasakan undangā€“undang dan tidak akan sesekali berkompromi ke atas pesalah yang ingkar.

Sebarang aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Miri di talian 085-418204 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/ 082-432016 untuk maklum balas segera. ā€” DayakDaily

Advertisement