Maritim dan polis jalankan siasatan terperinci berhubung kematian penyelam wanita

Peta di mana mangsa dilaporkan hilang pada 17 April dan lokasi dia ditemui pada 22 April.

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 24 April: Siasatan terperinci berhubung kes yang telah meragut nyawa penyelam wanita Chong Su Sian, 31 tahun, yang mayat ditemui terapung iaitu kira-kira 16.4 batu nautika dari Tanjong Po pada Khamis (22 April) lepas masih dijalankan.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sarawak, Kepten Yousry Yaali berkata pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menyiasat dari semua sudut dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada kecuaian manusia.


“Mangsa dipercayai telah melakukan selaman secara solo atau bersendirian tanpa ‘dive buddy’ sebelum dilaporkan hilang di perairan Pulau Satang Besar pada 17 April.

“Lantaran itu, Maritim Malaysia bersama PDRM sedang menyiasat punca sebenar kejadian ini berlaku dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada kecuaian manusia,” katannya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Kes akan disiasat di bawah peruntukan seksyen 280 Kanun Keseksaan iaitu mengendalikan perahu dengan gopoh, Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu beroperasi tanpa lesen bot yang sah dan juga Peraturan-peraturan Bot 1953.

Beliau selain itu mengingatkan penyelam untuk mematuhi tatacara yang ditetapkan oleh Certification Agency masing-masing seperti Professional Association of Diving Instructors (PADI), The National Association of Underwater Instructors (NAUI), Scuba School International (SSI) dan sebagainya.

“Kedua, bot yang digunakan hendaklah layak (berlesen) untuk menjalankan aktiviti selaman dan penyelam juga dinasihatkan supaya tidak terlalu ghairah semasa melaksanakan aktiviti sehingga mengabaikan keselamatan diri sendiri.

“Maritim Malaysia berharap agar semua peserta menjalankan aktiviti selaman memilih pusat menyelam yang bertauliah dan penyelam juga dinasihatkan agar tidak melakukan selaman secara bersendirian tanpa kehadiran Dive Guide yang berpengalaman di kawasan dive spot,” katanya.

Seterusnya, penggunaan surface marker buoy (SMB) yang amat berguna membantu pengesanan penyelam sewaktu dipermukaan oleh Dive Boat dan boleh juga dijadikan pelampung tambahan sekiranya hanyut adalah amat digalakkan selain Personal Locator Beacon (PLB) yang amat membantu mempercepatkan proses menyelamat oleh Pasukan Penyelamat.

“Maritim Malaysia berharap semua pihak sentiasa mengutamakan keselamatan dengan mengambil langkah sewajarnya apabila hendak melakukan apa jua aktiviti di laut,” katanya.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 yang beroperasi 24 jam. ā€” DayakDaily