Gagal kemuka dokumen, sebuah bot tunda berserta tongkang dan 7 krew ditahan

Sebuah kapal beserta tongkang dan tujuh kru ditahan Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 27 Okt: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah berjaya menahan sebuah bot tunda beserta sebuah tongkang dengan muatan pasir pada jarak lebih kurang 2.8 batu nautika dari barat daya Kuala Baram, semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Mohd Shafie Paing berkata, bot berserta tongkang dengan muatan pasir yang dilihat mencurigakan tersebut ditahan selepas pemeriksaan dilakukan pada jam lebih kurang 9.30 pagi kerana gagal mengemukakan dokumen pelepasan pelabuhan dan dokumen kebenaran yang sah terhadap muatan yang dibawa ketika diperiksa.


Hasil pemeriksaan mendapati, bot beserta tongkang tersebut dikendalikan oleh tujuh orang kru lelaki termasuk nakhoda iaitu dua orang warganegara Malaysia, dua orang warganegara Indonesia dan tiga orang warganegara India berusia dalam lingkungan umur 21 hingga 60 tahun.

Tujuh kru yang ditahan.

“Pemeriksaan mendapati mereka gagal kemukakan dokumen pelepasan pelabuhan (Port Clearance) dan gagal kemukakan dokumen kebenaran untuk membawa pasir masuk dari luar ke dalam negeri Sarawak,” ujarnya.

Kesemua tujuh kru, sebuah bot tunda dan sebuah tongkang beserta muatan tersebut ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Kes akan disiasat dibawah Akta Kastam 1967 bagi setiap kesalahan.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, jenayah maritim atau kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-434055 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam setiap hari. — DayakDaily