Jamilah nasihat penduduk Sileng Dayak kekal di rumah, patuhi SOP

Jamilah (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan pelitup separuh muka dan makanan pada lawatan ke Bilik Gerakan PKPD Kampung Sileng Dayak Lundu

KUCHING, 24 April: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu menasihati penduduk Kampung Sileng Dayak di Lundu untuk bersabar, kekal berada di rumah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ia susulan kampung berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari berkuatkuasa 23 April hingga 6 Mei depan.

“Saya ingin menasihatkan kepada para penduduk Kampung Sileng Dayak supaya bersabar dan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya semasa melakukan lawatan ke Bilik Gerakan PKPD Kampung Sileng Dayak Lundu semalam.


Pada lawatan itu, beliau telah mendengar taklimat ringkas daripada agensi-agensi yang terlibat seperti Pejabat Kesihatan Daerah Lundu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Lundu, Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu serta Jabatan Penerangan Daerah Lundu.

Jamilah turut menyampaikan sumbangan pelitup separuh muka dan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di bilik gerakan itu.

Pada semalam, seramai 316 penduduk Kampung Sileng Dayak telah menjalani pengesanan kes secara aktif (ACD) susulan terdapat dua kes positif yang dikesan di kampung tersebut.

Sementara itu, bekalan makanan untuk tempoh dua minggu juga telah diagihkan oleh petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Lundu serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lundu.

Pihak Pusat Khidmat N3 Tanjong Datu juga telah menyampaikan sumbangan berupa telur untuk diedarkan kepada semua ketua isi rumah terjejas. — DayakDaily