Mangsa terakhir bot OKINAWA ditemui

Mayat diusung ke dalam pikap polis untuk dihantar ke HUS.

KUCHING, 6 Okt: Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) hari ke-5 yang dikoordinasikan oleh Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching, di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama lain-lain agensi telah menemui mayat Awang Omar Awang Hamsawi, 59 tahun, mangsa terakhir tragedi bot OKINAWA yang karam.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, pada jam 4.22 petang tadi MRSC Kuching telah menerima panggilan dari sebuah bot pemancing yang melakukan pencarian memaklumkan menemui satu objek terapung di atas permukaan air dan disyaki mayat pada jarak 3.7 batu nautika utara dari bot tersebut karam.

Mayat tersebut seterusnya dibawa oleh pasukan penyelamat ke jeti dan diserahkan pada pihak Polis Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.


“Pengesahan mayat telah dilakukan oleh pasukan Forensik PDRM bersama waris di Hospital Umum Sarawak dan turut telah menemukan kad identiti pada mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Maritim Malaysia mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan semoga segala urusan dipermudahkan.

“Maritim Malaysia merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua agensi sahabat yang terlibat dalam operasi CARILAMAT ini, petugas dari pelbagai agensi serta komuniti maritim tempatan,” katanya.

Beliau selain itu menasihatkan komuniti maritim agar tidak turun ke laut buat masa sekarang memandangkan keadaan cuaca di laut kurang baik.

Katanya ia adalah disebabkan peralihan Monsun Timur Laut bermula dari bulan Oktober 2021 hingga Mac 2022.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily