Bot OKINAWA berjaya di’timbulkan’ semula

Bot OKINAWA ditimbulkan semula oleh pemiliknya.

KUCHING, 6 Oct: Bot Okinawa yang karam bersama dua kru dan lapan pemancing di perairan Pulau Satang berjaya ditimbulkan semula oleh pemiliknya, hari ini.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata bot itu kemudiannya dibawa ke jeti awam Telaga Air.

“Bot tersebut yang karam pada jarak 2.8 batu nautika barat laut Pulau Satang itu telah ditimbulkan semula oleh pemiliknya dan kemudian dibawa ke jeti sekitar jam 2 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Bagaimanapun, operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) enam lelaki yang dilaporkan hilang dalam dua insiden bot karam belum menemui sebarang petunjuk baharu setakat jam 4 petang tadi.

“Keluasan pencarian pembantu tekong Awang Omar Awang Hamsawi,59 tahun pada hari ini seluas 312.71 batu nautika persegi.

“Fokus pencarian merangkumi di laut serta pesisir pantai Tanjung Po, Pulau Lakei, Santubong, Tanjung Sipang, Pulau Satang, Pantai Trombol, Telaga Air sehingga ke Tanjung Datu,” katanya.

Katanya sebanyak 14 aset pasukan penyelamat terlibat dalam pencarian di laut serta pesisir pantai.

“Dua aset Maritim Malaysia KM Sri Aman dan Pengawal 6, tiga aset Pasukan Polis Marin PA1, RH 23 dan PSC 34 serta tiga bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain itu satu aset Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) JPLS20, satu aset Angkatan Pertahanan Awam Malayisa (APM) serta dua aset Sarawak Coast Guard SC Barracuda serta SC Tenggiri dan turut dibantu beberapa bot pancing komuniti maritim tempatan.

Pencarian udara turut dilakukan melibatkan aset Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, Helikopter Ecureuil AS355N dan Unit Udara Bomba Sarawak, Helikopter MI 171 yang melakukan pencarian dari Santubong ke Tanjung Datu.

Manakala pencarian lima mangsa lagi merangkumi kawasan seluas 439.5 batu nautika persegi, dengan fokus kawasan pencarian laut oleh aset Maritim Malaysia, KM Sri Aman adalah tertumpu di sekitar perairan Tanjung Datu, 15 batu nautika dari pesisir pantai dan ke atas.

“Komuniti maritim tempatan turut melakukan pencarian di pesisir pantai dari Tanjung Po sehingga ke Tanjung Datu serta di sungai-sungai berdekatan di sekitar perairan Santubong sehingga Sebuyau.

“Selain itu pencarian turut diperluaskan ke persisir pantai, Teluk Asam dan Teluk Belian,” katanya. — DayakDaily