Dua bot nelayan Vietnam dengan hasil tangkapan RM3 juta ditahan

Laksamana Pertama Zin Azman Md Yunus

KUCHING, 4 Feb: Dua bot nelayan asing Vietnam (BNAV) dengan hasil tangkapan bernilai RM3 juta ditahan di kedudukan 210 batu nautika barat laut Mukah hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Zin Azman Md Yunus memaklumkan, tangkapan dilakukan Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV1) antara pukul 10.45 pagi hingga 11.15 pagi.

Katanya, kedua-dua BNAV ketika ditahan didapati sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan negara.


“Kedua-dua BNAV terbabit sedang dibawa ke jeti Maritim Negeri Sarawak dan dijangka tiba pada 6 Februari untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zin Azman, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985. — DayakDaily