Lebih 40 pemilik tanah di Sg Lanjan dapat manfaat dari projek jalan akses kawasan pertanian

Kelihatan Nanta (kiri) ketika simbolik pecah tanah projek jalan akses ke kawasan kebun di Sungai Lanjan, Song, Kapit.

KAPIT, 20 Dis: Lebih 40 pemilik tanah di kawasan Sungai Lanjan bakal mendapat manfaat daripada pembinaan jalan akses pertanian yang menghubungkan kawasan terbabit dengan jalan utama.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek jalan akses sepanjang satu kilometer itu dibina menggunakan peruntukan sebanyak RM200,000 menerusi dana daripada Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak bagi projek pembinaan jalan ladang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, pembinaan jalan tersebut yang sudahpun bermula dijangka akan siap pada Februari tahun hadapan.


“Pada peringkat awal kita akan bina jalan tanah merah terlebih dahulu dan akan menaik taraf jalan ini dari semasa mengikut keperluan penduduk yang memiliki tanah khususnya Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

“Dengan adanya jalan ini nanti mereka bukan sahaja dapat mengusahakan tanah NCR milik mereka malah dapat membawa seterusnya memasarkan hasil tersebut sama ada di Pekan Kapit atau terus ke Sibu dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas melakukan acara simbolik pecah tanah projek tersebut.

Nanta berkata, beliau percaya kawasan tersebut amat sesuai bagi tanaman pelbagai hasil pertanian yang berupaya memberikan pulangan lumayan kepada pemilik tanah tersebut.

Katanya, pada ketika ini pihaknya bersama dengan Jabatan Pertanian daerah menekan penanaman baka durian Musang King selain baka durian tempatan.

“Daerah Song ini terkenal degan buah dabai. Jadi kita mengharapkan pemilik tanah ini dapat menanam tanaman tersebut sebab apabila musimnya buah dabai ini dapat dijual dengan nilai yang begitu lumayan.

“Selain itu juga kita dapat menjalankan aktiviti penternakan seperti kambing, lembu, ikan dan sebagainya yang pada masa akan datang akan memberikan pulangan seterusnya meningkatkan taraf sosio-ekonomi pemilik-pemilik tanah di kawasan Sungai Lanjan ini,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif tersebut selari dengan hasrat kerajaan mahu menjadikan setiap komuniti di negara ini termasuk yang tinggal di kawasan luar bandar mempunyai pendapatan tinggi.

“Menjadi harapan saya sebagai wakil rakyat di kawasan Kapit ini untuk melihat penduduk di kawasan saya ini mempunyai pendapatan isi rumah sebulan mungkin dalam RM4,000.

“Namun apa yang penting aset mereka adalah tanah yang mereka miliki ini dan ia haruslah diusaha agar ia dapat memberikan pulangan dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka,” katanya. — DayakDaily