200 penduduk Ng Antawau terima pampasan akibat kesan projek Empangan Baleh

kelihatan Ugak (kiri) bersama Nanta (kanan) ketika ditemui selepas majlis makan malam anjuran Persatuan Kebajikan Nanga Antawau, di Kapit malam tadi (20 Dis 2020).

KAPIT, 21 Dis: Kira-kira 200 penduduk yang tinggal di kawasan Nanga Antawau, Baleh disini telah menerima pampasan ke atas tanah milik mereka daripada kerajaan Sarawak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pampasan tersebut adalah bagi tanah milik mereka yang akan ditengelami oleh air susulan projek pembinaan Empangan Baleh.

Katanya, Nanga Antawau merupakan kawasan penempatan terakhir komuniti Iban yang mendiami disepanjang Batang Baleh.


“Mereka telahpun menerima pampansan mereka dan saya difahamkan lebih 600 cek telah pun diberikan kepada hampir 200 komuniti Iban yang mempunyai tanah serta tanaman di kawasan itu.

“Dengan pembinaan Empangan Baleh yang telahpun bermula sekarang dan dijangka akan siap pada 2025, kawasan ini akan ditenggelami air daripada empangan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas majlis makan malam anjuran Persatuan Kebajikan Nanga Antawau disini malam tadi.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, komuniti terlibat berpuas hati dengan bayaran pampasan tersebut yang telah diberikan kepada mereka baru-baru ini.

“Mereka berasa gembira kerana segala tuntutan mereka selama ini telah pun ditunaikan oleh kerajaan Sarawak dan saya difahamkan mereka telah memperjuangkan perkara itu selaman lebih kurang tiga tahun,” katanya

Sementara itu Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, apa yang ditunjuk oleh Persatuan Kebajikan Nanga Antawau jelas mengambarkan penduduk di kawasan luar bandar tidak menghalang pembangunan yang diberikan kerajaan.

Katanya, apa yang ditekankan adalah pemberian pampasan yang setimpal harus diberikan kepada mereka yang terlibat.

Ini kerana, menurut beliau, tanah yang diusahakan oleh penduduk terlibat merupakan harta pusaka yang harus dipertahankan.

Beliu turut menyifatkan usaha serta buah fikiran Persatuan Kebajikan Nanga Antawau dalam memperjuangkan hak mereka sesuatu yang berjaya dan pemberian pampasan tersebut memberi makna penting buat mereka.

“Pada hari ini juga saya telah pergi ke Ulu Gat untuk menyerahkan pampasan bayaran kepada lebih kurang 26 pemilik tanah di kawasan tersebut.

“Pampasan ini bagi tanah-tanah milik penduduk ini yang telibat dengan pembinaan jalan ke Ulu Gat.

“Ini kerana jalan tersebut iaitu pada fasa pertama dan kedua telah diluluskan oleh Upper Rajang Development Agency (URDA),” katanya. — DayakDaily