Teknik memilih lubuk memancing udang galah punca kemenangan Nazeri

Fazzrudin (dua dari kiri) menyampaikan hadiah wang tunai kepada Nazeri sebagai juara pertandingan memancing.

KUCHING, 20 Dis: Menangkap sehingga 15 ekor udang galah keseluruhannya seberat 930 gram dalam tempoh enam jam di Sungai Sarawak membolehkan Nazeri Edi, 41 menjadi juara Pertandingan Memancing Persatuan Lintangjong di Kampung Lintang, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Beliau dari Taman Sarjana Indah, Matang berjaya mengalahkan 29 peserta lain dengan tempat kedua dimenangi Shahbran Jeraie yang menangkap udang galah keseluruhannya seberat 880 gram dan tempat ketiga dimenangi Kho Chun Huay (840 gram).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman merasmikan penutupan pertandingan itu dan menyampaikan hadiah wang tunai RM500 kepada juara pertandingan, tempat kedua (RM300) dan tempat ketiga (RM100) serta turut menambah hadiah sebanyak RM100 kepada ketiga pemenang terbabit.


Pertandingan itu dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Persatuan Pemancing Lintangjong dan melibatkan kawasan Sungai Sarawak dari Masjid Terapung Kuching sehingga Pangkalan Haji Jamil Sungai Bintangor, Kampung Bintangor bermula dari jam 8.30 pagi sehingga 2.30 petang.

Sementara itu Nazeri berkata sebelum ini, beliau sudah kerap menyertai pertandingan memancing udang sekitar bandaraya ini, Miri dan Sri Aman tetapi kali pertama menyertai pertandingan memancing udang di kawasan terbabit.

“Namun, saya berjaya memancing sehingga 15 ekor udang dengan berat keseluruhan 930 gram di pertandingan ini. Kesemua udang terbabit saya pancing di satu tempat sahaja iaitu di hadapan Limbungan Brooke,” katanya.

Beliau berkata ini kerana dari pengalamannya kerap menyertai pertandingan memancing udang sungai, teknik memilih lubuk memancing yang betul adalah perkara terpenting dalam pertandingan itu.

Katanya ini kerana udang galah selalunya akan berada di kawasan sungai yang mempunyai arus dan aliran arus air sungai itu mestilah yang betul.

Sementara itu, Fazzrudin mengumumkan pertandingan memancing terbabit yang mengikut Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) Covid-19 akan dianjurkan lagi, dijangkakan sebelum bulan puasa akan datang.

“Saya akan memberi sumbangan untuk menganjurkan lagi pertandingan memancing ini. Hadiah juga ditingkatkan dari RM500 kepada RM800 bagi juara, tempat kedua ditingkatkan dari RM300 kepada RM600 dan tempat ketiga sebanyak RM300,” katanya.

Selain itu beliau meminta penduduk kampung yang bercadang mengadakan aktiviti di kawasan projek pembinaan tebingan sungai dari Kampung Sungai Bedil sehingga Kampung Tanjung supaya bekerjasama dengan JKKK kawasan itu dan kontraktor projek terlibat.

“Bagi pemancing ianya (projek) tidak begitu merbahayakan, kerana mereka turun ke pangkalan disediakan dan terus ke tengah sungai. Yang kita khuatir penduduk kampung yang membuat aktiviti sepanjang projek tebingan sungai yang belum siap ini,” katanya. — DayakDaily