KPDNKK rampas 103 paket minyak masak subsidi

Abd Hafidz (tiga dari kiri) bersama pegawai KPDNKK menunjukkan paket minyak masak subsidi yang dirampas.

MIRI, Mac 8: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak telah merampas 103 paket minyak masak dalam satu Ops Goreng di sebuah kedai menjual makanan laut di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Sarawak, Abd Hafidz A Rahim berkata, serbuan tersebut telah dilakukan pada pukul 3.30 petang.

Katanya, serbuan itu dilakukan selepas membuat intipan terhadap sebuah premis perniagaan makanan laut yang menyimpan minyak bersubsidi itu untuk kegunaan.


“Sebenarnya, minyak masak bersubsidi adalah untuk kegunaan pengguna isi rumah dan bukan bagi perniagaan dengan tujuan mengaut keuntungan.

“Intipan telah dilakukan selama satu minggu oleh anggota dari Seksyen Penguatkuasa KPDNKK Sarawak dengan kerjasama Bahagian Audit Dalaman KPDNKK Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Abd Hafidz menambah, pihaknya memberi amaran kepada para peniaga supaya tidak menggunakan minyak masak bersubsidi untuk perniagaan mereka.

Tegasnya, ini kerana ia boleh menjejaskan bekalan minyak masak bersubsidi untuk kegunaan isi rumah.

“KPDNKK akan menyiasat punca bekalan sama ada dari pemborong atau peruncit yang bersekongkol membekalkan minyak masak bersubsidi yang digunakan oleh peniaga-peniaga industri.

“Ops Goreng ini akan diteruskan bagi menstabilkan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran untuk kegunaan isi rumah.

Jika bersabit kesalahan, hukuman di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi individu adalah sebanyak maksima RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat diperbadankan, denda maksima adalah sebanyak RM3 juta. — DayakDaily