Awas, jangan ghairah jual jersi tiruan Piala Dunia 2018

Dato Stanley Tan - file pic

KUCHING, Jun 11: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak memberi peringatan kepada mana-mana pihak bakal diambil tindakan sekiranya terlibat dalam penjualan jersi tiruan Piala Dunia 2018 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Pengarahnya, Datuk Stanley Tan berkata, pihaknya akan menjejaki pihak yang menjual jersi tiruan apatah lagi ketika demam Piala Dunia 2018 di Rusia semakin dirasai.

Katanya, dijangkakan pelbagai jenis jersi tiruan akan dibawa masuk dengan kuantiti lebih banyak kerana permintaan terhadap produk itu pasti akan meningkat.


“Piala Dunia 2018 bakal berlangsung tidak lama lagi dan pastinya ada para peniaga yang ghairah untuk mengaut keuntungan berganda dengan menjual jersi tiruan.

“KPDNKK mengambil serius perkara ini kerana ia melibatkan Cap Dagang dan mana-mana pihak yang mempunyai hak penjualan jersi tulen boleh membuat aduan kepada kami untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Stanley menegaskan, pihaknya memandang serius aktiviti penjualan barangan tiruan disebabkan barangan berkenaan tidak mempunyai lesen yang sah untuk dijual kepada masyarakat umum.

Tegasnya, pengedaran dan penjualan barangan tiruan boleh dihukum mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda maksimum untuk syarikat sehingga RM15,000 bagi setiap barang.

“Manakala individu pula boleh dikenakan denda RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali

“Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, mereka boleh didenda di bawah akta sama tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang untuk syarikat, manakala bagi individu pula boleh dikenakan denda RM20,000 bagi setiap barang atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya lagi. — DayakDaily