KPDNHEP: Skim kawalan harga sempena Hari Raya Aidilfitri berkuatkuasa 21 April hingga 20 Mei

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 19 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 mulai 21 April hingga 20 Mei 2021.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang perayaan Hari Raya Puasa yang akan disambut pada 13 Mei 2021 di seluruh negara.

“Pelaksanaan ini juga memberikan mesej kepada pengeluar, pemborong dan peruncit bahawa kerajaan mempunyai kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu pada bila-bila masa boleh melaksanakan kawalan harga demi kepentingan rakyat.


“Selain itu, pelaksanaan skim ini juga akan memberi kesan kepada lain-lain barangan makanan sedia masak seperti nasi ayam, ayam golek, kuih muih dan lain-lain juadah berbuka puasa yang berasakan ayam, telur ayam dan hasil laut.

“Walaupun perayaan disambut secara sederhana mengikut ‘Standard Operating Prosedure’ (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan,
permintaan terhadap barangan semasa perayaan tetap ada dan dijangka akan meningkat berbanding semasa sebelum Ramadhan dan menjelang perayaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Nanta, kementeriannya telah mengenal pasti sebanyak 12 jenis barangan bagi pelaksanaan skim ini dan kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

Katanya, KPDNHEP menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara.

Ia juga mengambil kira pandangan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan dan maklumat dari pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan tersebut.

“Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga.

“Khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” ujar Nanta.

Antara senarai barangan yang termasuk dalam SHMPP Hari Raya Puasa adalah ayam hidup, standard dan ayam super, daging lembu tempatan, daging lembu import, dan daging kerbau import.

Barangan lain adalah telur ayam gred A, B dan C, ikan kembung termasuk ikan mabung, ikan selayang dan ikan tongkol.

Jelas Nanta lagi, harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang ditentukan adalah bersesuaian dengan kos semasa dan trend harga semasa. — DayakDaily