KPDNHEP Sarawak pantau kenaikan harga makanan dan minuman

Anggota penguat kuasa KPDNHEP memantau harga makanan di sebuah premis di Kuching

KUCHING, 16 Feb: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Negeri Sarawak telah mengeluarkan sebanyak 73 notis pengesahan maklumat barangan atau harga sepanjang tempoh 1 Januari hingga 14 Februari 2021.

Menurut Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan ia hasil pemeriksaan terhadap 7,791 premis perniagaan dalam tempoh yang sama di
seluruh Sarawak.

“Susulan daripada pemeriksaan ini, sebanyak 73 notis pengesahan maklumat barangan atau harga di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga
dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga.

“Ia bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen
pencatutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa anggota Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga makanan dan minuman di musim perayaan.

Ini berikutan terdapat maklumat berhubung aduan orang ramai yang menyatakan berlakunya kenaikan harga makanan dan minuman pada musim
perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini bermula 11 hingga 15 Februari 2021 lepas.

“Selain itu, pengguna juga disarankan membuat pilihan dan penilaian yang bijak bagi memastikan pengguna mendapat barangan yang memberikan pulangan yang optimal dengan nilai yang dibayar serta perkhidmatan yang terbaik,” ujar beliau.

Tambah Stanley, peniaga yang disyaki melakukan aktiviti mencatut akan disiasat dan sekiranya sabit kesalahan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 14 AKHAP 2011.

Beliau turut menasihatkan peniaga –peniaga agar mematuhi segala undang–undang perniagaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya dalam tempoh perayaan ini.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya mendapati peniaga yang melakukan kesalahan berkaitan bekalan dan harga,” ujar Stanley. -DayakDaily