KPDNHEP pastikan harga minyak masak 5kg tidak melebihi RM30 sebotol

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic

KUCHING, 30 Jun: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan harga minyak masak 5 kilogram tidak melebihi RM30 sebotol.

Menurut menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, kerjasama dengan kementerian terbabit akan dijalin dalam melaksanakan harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah (CPO).

“Bagi menangani isu kenaikan harga minyak masak botol 1 kilogram hingga 5 kilogram, KPDNHEP ingin merakamkan terima kasih atas kesudian kerajaan menerima cadangan mekanisma pengurusan harga minyak masak tidak bersubsidi.


“Kementerian juga menyambut baik peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi dalam pek polibeg 1kg terjamin dan dapat dibeli dengan harga subsidi RM2.50,” katanya.

Nanta berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini sebagai mengulas pembentangan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 28 Jun lepas.

Beliau menyifatkan Pemulih sebagai seimbang dan bertepatan dengan situasi semasa serta dapat menjamin negara menang dalam memerangi pandemik Covid-19 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat.

Tambah Nanta, kementeriannya akan meneruskan dasar kawalan dan harga barang keperluan dan meningkatkan penguatkuasaan sedia ada.

Katanya, ia ternyata berkesan seperti yang terbukti sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa sebarang insiden terputusnya bekalan barang keperluan.

KPDNHEP, ujar beliau, amat menghargai keprihatinan kerajaan yang komited membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dengan meneruskan dasar pengawalan harga barangan perlu.

“Antaranya pengekalan harga runcit bagi petrol RON95, diesel dan LPG yang melibatkan subsidi melebihi RM6 bilion setahun,” katanya.

Menerusi kenyataan itu, kementerian menyokong sepenuhnya Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (Pupuk) dengan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) manakala RM100 juta diperuntukkan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi meningkatkan agenda digitalisasi negara, kata Nanta.

“KPDNHEP sendiri telah lama menggerakkan program digitalisasi samada di peringkat kementerian mahupun dalam sektor perdagangan pengedaran.

“Ini melalui pelbagai aplikasi seperti ez-Aduan, Price Catcher, My Sales Tracker, MyHarga, Spacedeal, Chatbot Sara, ReDI dan banyak lagi,” ujar Nanta. — DayakDaily