Penagih dadah dicekup di Kampung Serasot, Bau

Gambar komposit menunjukkan suspek yang dicekup dan dadah yang dirampas polis.

BAU, 30 Jun: Tindakan seorang lelaki disyaki penagih dadah melarikan diri daripada diperiksa polis tidak berjaya apabila dia dicekup dalam satu operasi di Kampung Serasot, di sini Isnin (28 Jun) lalu.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau membuat satu serbuan ke atas sebuah rumah di kampung tersebut pada jam 10 pagi.

Katanya, apabila menyedari kehadiran polis, suspek yang berusia 34 tahun itu terus melarikan diri.


Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap di jalan utama Kampung Srieng-Kampung Serasot.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek menjumpai satu paket plastik berisi kristal jernih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 0.62 gram di dalam poket seluar suspek.

Saringan awal air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek kemudian dibawa ke IPD Bau untuk siasatan lanjut kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Poge menegaskan pihaknya akan lebih kerap lagi menjalankan rondaan dan pemeriksaan di sekitar kampung bagi membendung gejala dadah di kalangan masyarakat setempat. — DayakDaily