KPDNHEP pantau harga dan keberadaan minyak masak di pasaran

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 17 Jan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serius menangani situasi kedudukan bekalan dan harga barang keperluan pengguna.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, terdapat aduan yang diterima berhubung harga minyak masak botol bersaiz 5 kilogram di pasaran yang dikatakan dijual pada harga lebih tinggi.

“Minyak masak merupakan barang kawalan yang diberikan subsidi oleh Kerajaan sejak tahun 2007 bagi semua bentuk pembungkusannya.


“Walaubagaimanapun, bermula pada November 2016, Kerajaan melalui KPDNHEP telah mengadakan Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS) dengan hanya memberikan subsidi kepada minyak masak dalam bungkusan polibeg 1 kilogram sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, tujuan Kerajaan masih mengekalkan pemberian subsidi bagi minyak masak dalam polibeg 1 kilogram adalah untuk memastikan rakyat masih boleh mendapatkan bekalan minyak masak untuk kegunaan isi rumah dengan harga mampu milik iaitu RM2.50 sekilogram.

Pada masa ini katanya, sebanyak 60,000 tan minyak masak bersubsidi disediakan setiap sebulan dan diedarkan di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar.

“Untuk makluman, KPDNHEP komited memastikan keberadaan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran menerusi pemantauan ke atas pengilang dan syarikat pembungkus minyak masak.

“Pengaudit di setiap rantai bekalan minyak masak serta menjalankan pemeriksaan harian di peruncit, pemborong dan pasaraya juga dilakukan,” ujar beliau.

Jelas Nanta lagi, sejumlah enam notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikemukakan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kenaikan yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

“Peniaga yang melakukan aktiviti mencatut akan disiasat dan sekiranya sabit kesalahan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 14, AKHAP 2011.

“Mana-mana peniaga yang didapati cuba mengambil kesempatan dan menaikkan harga minyak masak tanpa mematuhi perundangan tersebut juga boleh diambil tindakan yang tegas di bawah AKHAP 2011,” tegas beliau. — DayakDaily