321,850 premis perniagaan diperiksa setakat semalam – Nanta

Nanta (kanan) melakukan lawatan kerja dan pemeriksaan di kompleks membeli belah Kipp Mall Kota Warisan.

KUCHING, 17 Jan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan pemeriksaan terhadap 321,850 premis perniagaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga semalam.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 314,018 premis patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Manakala 477 premis telah menerima amaran untuk membuat penambahbaikan segera terhadap pematuhan SOP PKP.


“Dan sejumlah 7,355 premis telah diberikan nasihat untuk menambahbaik dan mengekalkan pematuhan secara konsisten semasa beroperasi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Nanta pada semalam telah mengadakan satu lawatan kerja dan pemeriksaan perniagaan di sekitar kawasan kompleks membeli belah Kipp Mall Kota Warisan dan Pusat Pengedaran Giant di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Pemeriksaan memfokuskan kepada aktiviti sektor perdagangan dan pengedaran yang dibenarkan beroperasi selain memantau pematuhan SOP PKP di kalangan pihak industri serta meninjau keberadaan bekalan barangan keperluan harian pengguna.

“KPDNHEP yang diberi tanggungjawab menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 324] sejak 13 Mei 2020, akan melaksanakan tindakan melalui dua kaedah iaitu Pemeriksaan Khas (harian) dan Operasi Bersepadu.

“Ia dilakukan bersama agensi yang terlibat di dalam jawatankuasa bertindak operasi pematuhan PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan peringkat negeri dan daerah.

“KPDNHEP telah menggariskan gerak kerja untuk melaksanakan penguatkuasaan di bawah Akta ini dengan menetapkan kompaun sebanyak RM1,000 boleh dikenakan sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap SOP PKP,” ujar Nanta.

Turut serta pada lawatan itu ialah Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan  Pengarah Penguat Kuasa Azman Adam. — DayakDaily