KPDNHEP: Kestabilan harga dapat dicapai pada pertengahan suku pertama 2022

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 14 Dis: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan kestabilan harga dapat dicapai pada pertengahan suku pertama 2022 iaitu pada penghujung Januari atau Februari 2022.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bersandarkan langkah-langkah yang telah diambil serta sentimen dan reaksi pasaran domestik terhadap rangkaian usaha Kerajaan.

“Kementerian menjangkakan ia bakal memberi kesan kepada kestabilan harga barangan keperluan.


“Kestabilan ini juga akan menerima kesan positif daripada pembukaan dan pemulihan ekonomi dunia pada tahun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPDNHEP telah telah mengumumkan pelbagai usaha dan tindakan proaktif dalam menangani isu kenaikan harga barangan keperluan yang melibatkan pelaksanaan penguatkuasaan Ops Menu dan Ops Pasar.

Inisiatif lain termasuk Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

“Pelaksanaan inisiatif tersebut juga adalah melengkapi usaha yang sedang dilaksanakan sama ada di peringkat pemantauan, penguatkuasaan dan advokasi kepenggunaan sedia ada.

“Pelaksanaan PJKM telah memberi impak positif di mana barangan keperluan harian seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras serta barangan proses dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat,” ujar Nanta.

Sementara itu, antara barangan yang mendapat permintaan tinggi dan habis dijual adalah ayam, telur, ikan dan minyak masak di samping barangan keperluan harian yang lain seperti sayur-sayuran, beras, gula dan tepung.

Sehingga hari ini kata Nanta, sambutan yang diterima daripada para pengguna bagi program ini adalah menggalakkan dengan pengunjung seramai 28,985 orang dan hasil jualan sejumlah RM423,844.06.

“Menerusi maklum balas yang diterima melalui operasi pemantauan harga, Kementerian mendapati harga barangan keperluan sudah mula menunjukkan trend penurunan,” ujar Nanta. — DayakDaily