KPDNHEP: Bekalan cili mencukupi, harga mulai turun

Kelihatan pengguna sedang membeli cili yang di jual di pasaran tempatan.

KUALA LUMPUR, 23 Jan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati harga cili termasuk cili merah minyak, cili merah kulai dan cili akar mula menunjukkan penurunan.

Menterinya, Datuk Seri Alexender Nanta Linggi berkata, harga purata harga purata cili merah kulai pada Disember 2020 adalah pada paras RM23 sekilogram dan pada minggu ini, harga purata cili itu telah menurun kepada RM19 sekilogram, penurunan sebanyak 17 peratus.

Beliau berkata, cili merah kulai dikatakan lebih menjadi pilihan pengguna Malaysia berbanding cili-cili lain berikutan pilihan dan cita rasa tersendiri daripada sudut rasa, rupa fizikal, ketahanan kesegaran dan khasiatnya.


“Penggunaan cili oleh pengguna Malaysia dianggarkan kira-kira 0.006 kilogram seorang sehari, 0.17 kilogram sebulan dan 2.0 kilogram setahun.

“Keperluan untuk setahun bagi 32.73 juta rakyat Malaysia ialah 65.46 juta kilogram.

“Terdapat beberapa jenis cili yang ada di pasaran negara ini iaitu Cili Mardi, Cili Merah Minyak, Cili Sime Darby, dan Cili Import,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Nanta berkata penananam cili di Malaysia dilakukan dalam dua musim  setiap enam bulan ianya dituai, diproses seterusnya diedarkan untuk bekalan kepada pengguna dan industri melalui pemborong dan peruncit.

Katanya, penanaman tersebut dipengaruhi oleh elemen seperti iklim cuaca sekitar 28-29’C, tanah jenis gambut dan pasir dengan nilai Ph 5.5 hingga 6.5 dan tahap kelembapan yang sederhana.

“Luas fizikal ladang penanaman cili di Malaysia ialah 576.85 hektar dan luas tanaman cili kulai ialah 204.46 hektar dan kebanyakan benih cili diperoleh daripada Taiwan, Jepun dan Korea,” katanya.

Dalam pada itu, Nanta berkata, satu perbincangan akan dilakukan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengenai langkah-langkah strategik dan progresif bagi meningkatkan keupayaan petani cili tempatan menambah hasil tanaman cili secara berperingkat-peringkat dari 45 peratus kepada satu tahap yang boleh berdaya-saing dan berdaya-maju.

Pada masa sama ia berupaya memberikan  keuntungan kepada petani tempatan dan  pengguna dari segi harga. — DayakDaily