Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga dicadangkan untuk melindungi guru

Jisin (tengah) menjelaskan mengenai Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga yang akan dicadangkan STU bersama pertubuhan berkaitan guru lain kepada Kementerian Pendidikan Malaysia di Wisma STU.

KUCHING, Feb 7: Kesatuan Guru Sarawak (STU) akan mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia supaya mengunapakai Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga di sekolah dan institusi pendidikan seluruh negara ini bagi melindungi guru dari menjadi mangsa kalangan ibu bapa atau penjaga pelajar yang bersikap agresif.

Presiden STU, Jisin Nyud berkata kod etika tersebut akan dicadangkan pihaknya kepada kementerian bersama Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Majlis Bersama Kebangsaan Pihak Pekerja (MBK), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Persatuan Pengetua Sekolah Menengah, Majlis Guru Besar Sarawak disamping Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah menengah dan rendah.

“Antara usul dalam kod etika itu ialah pertama, ibu bapa atau penjaga (pelajar) perlu merujuk kepada pengetua atau guru besar terlebih dahulu sekiranya mempunyai sebarang masalah dengan guru berkaitan dengan anak mereka. Ini kerana pihak pentadbir (sekolah) merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk membincangkan berkenaan permasalahan terbabit bersama guru dan ibu bapa,” katanya ketika mengadakan sidang media di Wisma STU, Jalan Song, di sini, hari ini.

Jisin berkata usul kedua ialah ibu bapa atau penjaga tidak dibenarkan membawa masuk topi keledar atau benda yang boleh mendatangkan mudarat atas dasar keselamatan dan pihak sekolah berhak menghubungi polis jika arahan ini tidak dipatuhi.

Usul ketiga ialah ibu bapa atau penjaga tidak menyalahgunakan atau menghantar mesej yang bernada mengancam kepada guru seperti dalam e-mel, teks, mel suara, telefon atau lain-lain komunikasi bertulis serta media sosial seperti Facebook dan lain-lain.

Keseluruhannya terdapat sebanyak 15 usul berkaitan perkara yang boleh dan lapan usul berkaitan perkara yang tidak boleh dilakukan ibu bapa atau penjaga pelajar terhadap guru dalam kod terbabit tetapi pihaknya tidak boleh memberikan butiran kesemua usul tersebut terlebih dahulu kerana masih membincangkannya secara terperinci.

“Kami berharaplah Kementerian Pendidikan Malaysia akan menerima dan menguna pakai kod etika ini kerana kami amat mengambil berat kebajikan guru setelah ada dilaporkan di media yang guru diancam segelintir ibu bapa atau penjaga pelajar yang bersikap agresif,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa dan penjaga pelajar terbabit bersikap agresif seperti meninggikan suara atau menghentakkan meja di sekolah kerana guru ada memarahi anak mereka yang ada melakukan kesalahan sehingga guru terbabit merasa tidak selamat dan akhirnya tidak berani menyentuh pelajar terbabit lagi.

“Dengan wujudnya sosial media juga, berita (ibu bapa dan penjaga memburukan guru sekolah) boleh disebarkan amat cepat dan sekiranya mereka melaporkan guru terbabit kepada polis, sebelum siasatan dilakukan laporan terbabit sudah disebarkan di media sosial,” katanya.

Katanya guru akan bertambah tertekan apabila orang ramai mula menyokong ibu bapa atau penjaga yang menyebarkan laporan polis terbabit di laman sosial tanpa mereka mengetahui perkara sebenar yang telah berlaku.

Malahan STU di maklumkan yang Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum ini juga ada mendedahkan yang sekurangnya satu laporan sedemikian akan diterima polis di negara ini setiap minggu. — DayakDaily