APM bantu bersihkan empat rumah mangsa banjir

Anggota APM membantu membersihkan kediaman mangsa banjir di Kampung Sungai Batu.

KUCHING, Feb 7: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuching telah menggerakkan anggotanya bagi membantu pelaksanaan program pasca banjir di Kampung Sungai Batu di sini hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam APM Sarawak, Leftenan Hafizul Samah berkata, terdapat empat buah rumah penduduk kampung yang terjejas dan berlumpur akibat banjir baru-baru ini telah dibersihkan.

Katanya, selain anggota APM, gerak kerja pembersihan pasca banjir itu turut dibantu pasukan bomba dan penyelamat, anggota Rela serta sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat.


“Fokus utama hari ini ialah membersihkan empat rumah yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda kampung ini beberapa hari lalu.

“Kerja gotong-royong itu melibatkan kerja-kerja membersihkan lantai yang dipenuhi lumpur serta mengalihkan barangan untuk dikeringkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Hafizul memberitahu, menerusi usaha yang dijalankan itu, pihak berharap sedikit sebanyak dapat mengubat kesedihan mangsa banjir di kampung tersebut.

“Bantuan pasca banjir ini akan diteruskan untuk meringankan beban mangsa sekali gus merapatkan hubungan APM dengan masyarakat setempat,” katanya. — DayakDaily