201 mangsa banjir di PPS SK Kelali Semera terima bantuan

Pasukan APM dan anggota tentera mengangkat barangan yang diagihkan kepada mangsa banjir.

KOTA SAMARAHAN, Feb 7: Seramai 201 mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kelali Semera hari ini menerima sumbangan berbentuk maakanan daripada Petronas di PPS tersebut hari ini.

Kesemua mangsa yang terdiri daripada 72 buah keluarga telah menerima bantuan beras serta barangan runcit.

Majlis penyerahan sumbangan itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Aidel Lariwoo.


Aidel (tengah) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di PPS SK Kelali, Semera.

Menurut Aidel, bantuan yang disampaikan itu diharapkan dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir selepas kediaman mereka terjejas akibat bencana tersebut.

Katanya, sumbangan tersebut telah disalurkan oleh badan korporat yang prihatin dnegan nasib mangsa banjir di situ.

“Saya juga akan terus memantau semua mangsa banjir di sini lebih-lebih lagi setelah mereka pulang ke kediaman masing-masing kelak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Hadir sama ialah wakil Pengurus Besar Petronas Wilayah Sarawak, Rhymie Rashidie Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Mejar Jeneral (B) Datuk Azmy Yahya. — DayakDaily