Ketua masyarakat digesa hanya sokong permohonan yang sahih untuk status warganegara

Fatimah (tengah) menyampaikan surat kelulusan status warganegara Malaysia kepada pemohonnya dan ibu bapa mereka.

KUCHING, Feb 15: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak mahu ketua masyarakat di negeri ini hanya memberikan sokongan terhadap permohonan mendapatkan status warganegara Malaysia sekiranya pasti pemohonnya benar layak dan mengelakkan memberikan sokongan itu sekiranya ada keraguan dengan kelayakan pemohon terbabit.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata ketua masyarakat boleh didakwa dan dipenjara sekiranya memberikan sokongan mereka kepada permohonan warga asing yang tidak sememangnya layak mendapatkan status itu.

“Jadi sekiranya kamu (ketua masyarakat) ada rasa ragu-ragu (samada pemohon layak mendapat status warganegara Malaysia), janganlah buat perkara yang tidak betul,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Wacana Bestari: Masalah Dokumen Pengenalan Diri Di Bahagian Kuching dan Penyerahan Surat Kelulusan Permohonan Taraf Kewarganegaraan Di Bawah Perkara 15 A, di sini, semalam.


Fatimah berkata ini kerana tanggungjawab ketua masyarakat amat besar dalam usaha kerajaan mahu memastikan setiap rakyat lahir di negeri ini ada dokumen pengenalan diri termasuk berstatus warganegara atau tidak dan mereka tidak dapat hanya berharap sepenuhnya kepada jabatan dan agensi kerajaan sahaja memainkan peranan itu.

Beliau berkata bukan sahaja pemohon perlu mendapat sokongan dari ketua masyarakat masing-masing bagi memgemukakan permohonan mendapatkan status kewarganegaraan Malaysia, mereka juga akan menghadiri satu segi temuduga dengan wakil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak dan jabatan lain yang berkaitan.

“Tetapi apabila ditemuduga kami dimaklumkan ada didapati loghat bahasa digunakan pemohon bukan loghat rakyat Sarawak tetapi rakyat Indonesia yang membongkar cubaan mereka, malahan ada pemohon berpatah balik dari menghadiri sesi temuduga kerana terlihat kakitangan Jabatan Imigresen turut menghadiri sesi itu,” katanya.

Sebahagaian kanak-kanak yang telah menerima surat kelulusan mendapat status kewarganegaraan Malaysia yang telah disampaikan Fatimah.

Disamping itu, beliau juga menafikan yang kakitangan JPN Sarawak selama itu hanya berada di pejabat dan tidak berusaha keluar mencari penduduk negeri ini yang memerlukan dokumen pengenalan diri dan ini menjadi punca ramai penduduk negeri ini tidak memiliki dokumen itu serta anak mereka tidak mendapat status warganegara ini.

Fatimah berkata sejak 2015 hingga akhir 2017, JPN Sarawak telah mengadakan sebanyak 158 program ‘outreach’ iaitu keluar pejabat di setiap bahagian dan daerah bagi mencari penduduk negeri ini yang tiada dokumen pengenalan diri bersama wakil rakyat dan ketua masyarakat tempatan.

“Ketua masyarakat yang membantu JPN Sarawak dalam program ini untuk mengumpulkan individu yang tiada dokumen pengenalan diri di kawasan bandar atau luar bandar dengan purata setiap program telah dihadiri seramai 60 hingga 90 orang penduduk negeri ini,” katanya.

Beliau berkata dari 158 program terbabit, JPN Sarawak mendapat sebanyak 6,784 permohonan dari penduduk negeri ini bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri dan status warganegara Malaysia dan dari jumlah itu sebanyak 4,554 permohonan terbabit telah diterima jabatan itu.

“Malahan dari program itu ada penduduk negeri ini tidak perlu memohon status warganegara dari JPN Sarawak dan terus mendapatnya kerana didapati ibu bapa mereka kedua-duanya sudah memiliki status itu disamping ketua kaum turut mengesahkan mereka lahir di rumah panjang di negeri ini,” katanya.