Banjir di Sarawak pulih sepenuhnya, pusat pemindahan terakhir ditutup

Aktiviti pembersihan di salah sebuah sekolah yang terjejas oleh banjir baru-baru ini.

KUCHING, Feb 15: Bencana banjir di negeri ini pulih sepenuhnya apabila sebuah pusat pemindahan sementara yang masih beroperasi iaitu di Dewan Suarah Mukah ditutup semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Mejar Ismail Mahedin berkata, pusat pemindahan yang dibuka sejak minggu lalu ditutup selepas kesemua 14 mangsa yang terakhir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menurut beliau, bencana banjir yang melanda Sarawak sejak minggu lalu telah mengakibatkan 47 buah pusat pemindahan sementara dibuka di 14 daerah di seluruh negeri ini.


“Berdasarkan rekod, secara keseluruhannya seramai 7,103 mangsa daripada 2,016 buah keluarga telah terjejas akibat bencana banjir itu.

“Antara kawasan yang terjejas ialah di Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Sibu, Mukah, Sarikei, Bintulu, Miri dan Limbang,” katanya ketika dihubungi semalam. — DayakDaily