Kesepakatan Malaysia-Indonesia dalam RGL/TCA beri impak postif industri perlancongan

Datuk Seri Nancy Shukri

PUTRAJAYA, 6 Feb: Kesepakatan antara Malaysia dan Indonesia dalam membenarkan Gelembung Perjalanan Reciprocal Green Lane/Travel Corridor Arrangement (RGL/TCA) bakal memberi impak positif kepada industri perlancongan di negara ini.

Menteri Perlancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kejayaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan kesepakatan tersebut merupakan berita baik dan ia ditunggu-tunggu Motac dan ia amat dihargai oleh kementerian itu.

“Inisiatif ini merupakan salah satu pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan Motac yang dirangka sejak Julai tahun lalu sebagai langkah untuk merancakkan semula atau “rebound” industri pelancongan dan kebudayaan negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini


Beliau berkata, Motac sebelum ini pernah mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian iaitu Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam meneroka peluang pewujudan gelembung perjalanan atau ‘travel bubbles’ dengan negara-negara jiran Malaysia.

Katanya, antara yang dicadang dalam gelembung perjalanan terbabit termasuklah Brunei, Singapura dan Thailand atau negara-negara ASEAN dan Asia Pasifik seperti Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand yang dikenalpasti selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagaimanapun, pelaksanaan gelembung perjalanan tertakluk kepada perbincangan dua hala dan pertimbangan mengenai aspek kesihatan, imigrasi, pengesanan data serta pemantauan berterusan oleh agensi yang berkaitan di kedua-dua negara terlibat.

“Di peringkat antarabangsa, sebagai Pengerusi Suruhanjaya bagi Rantau Asia Timur & Pasifik dalam Jawatankuasa Krisis Pelancongan Global UNWTO atau UNWTO Global Tourism Crisis Committee, Malaysia turut menyuarakan cadangan ketelusan dan penyeragaman SOP merentas sempadan oleh negara-negara yang selamat.

“Ini bagi memudahkan perjalanan dengan mengambil kira pandangan daripada agensi-agensi kesihatan negara masing-asing,” katanya. — DayakDaily